Skip to main content
YBrs. Encik Zamakhshari Muhamad, Pengurus Besar Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia atau Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) mengadakan kunjungan hormat kepada YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, hari ini.
Dalam pertemuan hampir sejam di Kementerian Perladangan dan Komoditi di Putrajaya, En. Zamakhshari memaklumkan perjalanan operasi MPOGCF terutamanya projek-projek pemuliharaan hijau yang dibiayai menggunakan dana ses sawit yang disumbang industri minyak sawit Malaysia.
MPOGCF beroperasi sepenuhnya sebagai yayasan bermula April 2021 dan sehingga kini berada di landasan yang betul untuk menaikkan imej minyak sawit Malaysia menerusi usaha-usaha pemuliharaan hijau khususnya memulihara hutan-hutan terosot dan habitat hidupan liar yang berkaitan dengan lanskap perladangan kelapa sawit di Malaysia.
En Zamakhshari memaklumkan projek-projek yang dibiayai MPOGCF tidak hanya untuk alam semulajdi malah turut memberi manfaat sosio- ekonomi kepada pekebun-pekebun kecil dan penduduk setempat.
Usaha MPOGCF itu sejajar tagline terbaharu kementerian iaitu Memacu Kemampanan Komoditi Negara Demi Kesejahteraan Rakyat, yang mana menjadi hasrat kerajaan mahu hasil pendapatan daripada pengeluaran produk-produk komoditi secara mampan dikembalikan semula untuk kesejahteraan rakyat.
Dalam kunjungan itu, En Zamakhshari disertai Pengurus Konservasi MPOGCF, Encik Ahmad Shahdan Kasim.
En. Zamakhshari turut mengambil peluang bagi mewakili Ahli Lembaga Pemegang Amanah (BOT) dan seluruh warga kerja MPOGCF mengucapkan tahniah kepada YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof atas pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri yang pertama dari Sarawak.