Skip to main content
Biodiversity Talk 2025 anjuran Ecology & Biodiversity Society (EcoBio UM) dan Fakulti Sains Universiti Malaya dengan kerjasama Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) berjaya menghimpunkan para profesional, ahli akademik serta pelajar dalam satu sesi forum yang memfokuskan kepada isu pemulihan ekosistem dan pembangunan lestari di Malaysia.
Biodiversity Talk ini menampilkan 5 panel utama iaitu Ahmad Shahdan Kasim, Pengurus Pemuliharaan dan Kemampanan MPOGCF; Ts. Faedzul Rahman Rosman, Ketua Teknikal Kebangsaan BIS NRESS; Dr. Aldrich Richard, Pengarah Bahagian Silvikultur Pemeliharaan Biologi Hutan JPSM; Dr. Ahmad Zafir Abdul Wahab, Pengarah Program The Habitat Foundation; dan Dr. Mohd Shafiq Zakeyuddin, Ketua Seksyen (Environmental Consultation), TNB Labs Sdn. Bhd.
Dua sesi utama dibincangkan, iaitu Ecosystem Restoration for Forest and Biodiversity Recovery dan Biodiversity and the Sustainable Development Goals (SDGs). Dalam sesi pertama, Ahmad Shahdan menjelaskan bahawa pemuliharaan biodiversiti bukan hanya tanggungjawab satu pihak, tetapi amanah bersama yang menuntut kolaborasi dari pelbagai pihak antaranya kerajaan, industri, ahli akademik dan komuniti.
Beliau turut menjelaskan peranan dan komitmen MPOGCF yang menjadi jambatan antara sektor minyak sawit dan pemuliharaan alam sekitar melalui pelbagai inisiatif seperti pemulihan hutan terosot, pembinaan koridor hidupan liar serta kerjasama penyelidikan dengan institusi pengajian tinggi dan agensi
kerajaan.
Selain itu, MPOGCF turut menghargai peranan aktif generasi muda yang semakin menunjukkan kesedaran tinggi terhadap kelestarian alam sekitar. Inisiatif mahasiswa Universiti Malaya dalam menganjurkan program ini menjadi bukti bahawa kesedaran dan tindakan positif dalam kalangan belia mampu memperkukuh masa depan biodiversiti negara.
Secara keseluruhannya, Biodiversity Talk 2025 menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara industri dan dunia akademik ke arah membina masa depan yang lebih lestari untuk alam semula jadi dan generasi akan datang.