PROGRAM Jelajah Sawit Hijau Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) berlangsung meriah di pusat beli-belah Aman Central, Alor Setar, Kedah pada Sabtu.
Memilih tagline, Konservasi Kunci Sawit Mampan, siri pertama acara ini dibawakan dengan kerjasama Suria FM dan portal Majoriti, Vertikal Melayu milik Star Media Group.
Program julung kalinya dicetuskan MPOGCF turut menampilkan rakan strategik Barn Owl & Rodent Research Group (BORG), Pengurusan dan Ekologi Gajah Malaysia (MEME) dan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kedah bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai inisiatif pemuliharaan alam sekitar yang dijalankan industri sawit negara.
Pada masa sama, ia juga bermatlamat menepis persepsi negatif terhadap minyak sawit Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Melalui kempen kesedaran awam ini, sokongan masyarakat terhadap kebajikan dan kesejahteraan hidupan liar yang dilindungi diharap dapat ditingkatkan.
Pelbagai aktiviti dianjurkan untuk menarik minat masyarakat termasuk menyalurkan maklumat tentang kehidupan alam semula jadi di Malaysia.
Antaranya adalah pertandingan mewarna, kuiz, sesi podcast bersama pihak MPOGCF, PERHILITAN, MEME, BORG serta beramah mesra dengan penyampai radio Suria FM.
Menurut Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud, program ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan sawit dalam ekosistem negara.
“Seperti kita semua tahu, yang terlibat dalam dunia konservasi sahaja tahu realiti sebenarnya.
“Tetapi, dengan kempen seperti ini, kita dapat kongsikan maklumat-maklumat kepada orang ramai tentang apa yang sedang berlaku di luar sana terutama dalam kerja konservasi melibatkan kehidupan liar dan industri sawit.
“Kempen ini juga penting untuk memperbetulkan persepsi dan tanggapan negatif mengatakan industri sawit tidak mesra alam atau membunuh hidupan liar,” katanya ketika ditemui pada siri pertama Jelajah Sawit Hijau MPOGCF itu.
Turut hadir Pengurus Komunikasi Strategik MPOCGF, Tuan Nazuri Tuan Ismail dan Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, sambutan generasi muda sepanjang program berlangsung juga amat memberangsangkan.
Katanya, penglibatan dan kesanggupan mereka untuk mendapat maklumat tentang program ini cukup memberi impak besar kepada masyarakat, seperti yang berlaku di Kedah selaku destinasi pertama.
“Program ini juga akan berlangsung di tiga lagi zon iaitu di selatan iaitu di Johor; timur (Terengganu) dan terakhir di Selangor.
“Jadi, saya menjemput semua untuk datang beramai-ramai hadir dan memeriahkan majlis seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Roslinda atau lebih dikenali sebagai DJ Lin berkata, kerjasama antara MPOGCF dan Star Media Group merupakan antara usaha dalam memupuk kesedaran untuk menyayangi kehidupan liar yang terancam seperti Orang Utan, gajah dan harimau.
“Inilah masanya ibu bapa bawa anak-anak dan ahli keluarga hadir dan belajar bagaimana cara untuk menghargai haiwan-haiwan ciptaan Tuhan.
“Warga Kedah juga sangat beruntung kerana ini merupakan destinasi pertama untuk siri jelajah ini.
“Hari ini juga sangat meriah kerana ada pelbagai aktiviti menarik, hadiah-hadiah istimewa di beberapa reruai yang disediakan,” jelasnya.
Selain itu, pengunjung juga dimeriahkan lagi dengan persembahan penyanyi Aisha Retno, Ara Johari, Dr Soo Wincci dan Lan Solo.