Skip to main content
MPOGCF telah dijemput untuk tampil dalam slot Morning Morning Suria di saluran radio Suria FM bagi mempromosikan siri jelajah yang mempromosikan usaha-usaha pemuliharaan hijau dalam landskap kelapa sawit.
Jelajah Sawit Hijau dengan tagline Konservasi Hijau Kunci Sawit Mampan dianjurkan MPOGCF dengan kerjasama Star Media Group, Suria FM dan Majoriti.
Jelajah Sawit Hijau merupakan usaha MPOGCF dalam mempromosikan secara berterusan usaha dan inisiatif pemuliharaan hijau seperti perhutanan semula dan pemuliharaan hidupan liar oleh pemain-pemain indutri sawit Malaysia dan rakan-rakan strategik.
Menurut Pengurus Komunikasi Strategik MPOGCF, Tuan Nazuri Tuan Ismail, Jelajah Sawit Hijau menggunakan pendekatan Education Entertainment (edutainment) yang menggabungkan pendidikan dan hiburan.
“Kita mahu manyalurkan maklumat yang tepat kepada orang ramai berkenaan usaha-usaha pemuliharaan hijau oleh industri sawit Malaysia. Pendekatan ini membolehkan orang ramai mendapatkan makumat tepat, sekaligus membantu kita memperbetulkan persepsi negatif,“ katanya.
Jelajah Sawit Hijau dianjurkan di seluruh negara mengikut zon iaitu Utara, Timur, Selatan dan Tengah. Zon Utara telah berlangsung pada 24 Mei lalu di Aman Central Mall, Alor Star, Kedah, dengan kehadiran lebih 40,000 pengunjung.
Zon Timur akan dianjurkan pada 16 Ogos ini di Mayang Mall, Kuala Terengganu, manakala Zon Selatan pada 15 November di Paradigm Mall, Johor Bahru dan Zon Tengah di Melawati Mall, Kuala Lumpur, pada 22 November.
Pelbagai aktiviti diadakan seperti pameran oleh penggiat industri sawit dan rakan strategik, kuiz Kahoot, pertandingan mewarna The Other Malaysians untuk kanak-kanak serta sesi siaran langsung podcast yang diselang-seli dengan persembahan artis -artis tempatan yang turut menyampaikan mesej positif mengenai alam sekitar dan industri sawit Malaysia.