Skip to main content
KOTA BHARU, 23 SEPT – Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Kerajaan Negeri Kelantan bagi memperkukuhkan usaha pemuliharaan hutan dan biodiversiti di negeri ini.
MOA tersebut ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Yang Beramat Mulia Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj bin Tengku Feissal dan Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud.
Majlis itu disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, YBhg Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Tuan Haji Mohd Rahim bin Ramli.
Melalui perjanjian ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pelaksanaan projek pengurusan hutan yang terpisah akibat pembalakan, pembinaan jalan dan aktiviti perladangan yang menjejaskan kelangsungan hidup bagi spesies terancam termasuk Harimau Malaya, gajah, tapir dan beruang matahari.
MPOGCF memperuntukkan dana berjumlah RM562,000 bagi menjayakan projek konservasi di Hutan Simpan Chabang Tongkat, Machang dengan keluasan 10.5 hektar. Projek ini merangkumi fasa penanaman dan penjagaan serta rawatan pokok.
Projek ini menghubungkan semula hutan yang terpisah, membolehkan hidupan liar bergerak bebas antara kawasan hutan, membantu meningkatkan populasi spesies haiwan serta mengurangkan risiko kadar kemalangan jalan raya melibatkan hidupan liar.
Dalam ucapan, Dato’ Yusran Shah yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi berkata, “Perpecahan hutan bukan sahaja menyukarkan pergerakan hidupan liar, malah ia meningkatkan risiko kemalangan jalan raya dan menjejaskan rantaian ekologi.”
Katanya, penghutanan semula kawasan terosot dengan spesies asli akan memperbaiki ekosistem hutan, meningkatkan kualiti tanah dan mengurangkan hakisan.
“Lebih penting lagi, inisiatif ini ini menyokong Pelan Induk Central Forest Spine (CFS) Malaysia serta komitmen negara terhadap usaha konservasi biodiversiti, di samping meningkatkan imej positif industri sawit Malaysia di peringkat global,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj berkata, projek ini mengukuhkan lagi komitmen kerajaan negeri dalam memastikan keseimbangan alam sekitar dan kemajuan ekonomi.
“MOA ini adalah bukti kerjasama erat Kerajaan Negeri dan Kementerian Perladangan dan Komoditi dalam usaha pemuliharaan biodiversiti,” katanya.