Skip to main content
Sambutan Hari Gajah Sedunia 2025 di Felda Tenggaroh 5, Mersing, Johor bukan sahaja menekankan usaha memupuk keharmonian antara manusia dan gajah, malah turut memperlihatkan komitmen industri seperti MPOGCF dalam menyokong agenda pemuliharaan hidupan liar.
Pameran di reruai MPOGCF mengetengahkan projek-projek berkaitan gajah. Antara bahan yang dipamerkan termasuk gambar-gambar projek Santuari Gajah Borneo (BES) di Kinabatangan, Sabah dimana MPOGCF menaja pembinaan fasiliti tempat berkenaan serta gambar aktiviti pemasangan kolar gajah di Ladang Brumas, Tawau. Pameran interaktif ini menarik perhatian pengunjung kerana menonjolkan usaha sebenar yang dijalankan di lapangan bagi melindungi gajah sambil menyokong kelestarian industri sawit.
Pegawai Daerah Mersing, Tuan Hj Jamil Hasni bin Abdullah, turut meluangkan masa melawat reruai MPOGCF untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan peranan dan projek yang dijalankan MPOGCF dalam pemuliharaan gajah.
Sambutan tahunan ini turut melibatkan pelbagai pihak termasuk FELDA, Jawatankuasa Sungai Ara Human-Elephant Coexistence (HEC) dan Earthworm Foundation (EF). EF merupakan rakan strategik MPOGCF bagi projek perintis Mencapai Kewujudan Bersama Gajah di Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor, yang dilaksanakan di kawasan seluas 8,400 hektar. Menerusi kerjasama itu, MPOGCF membiayai kos pemasangan pagar elektrik di beberapa lokasi sesuai melibatkan kebun-kebun kelapa sawit di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi. Pagar elektrik merupakan antara kaedah yang disyorkan bagi mengurangkan Konflik Manusia-Gajah.