Skip to main content
TAIPING, 1 November 2025 – Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Taiping telah menganjurkan Sambutan Hari Orang Utan Sedunia 2025 (WOD 2025) di Zoo Taiping & Night Safari, di sini hari ini. Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, YBhg. Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof.
Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Yusran Shah menegaskan bahawa orang utan sering disalah gunakan sebagai simbol kempen terhadap industri sawit oleh pihak tertentu yang cuba menggambarkannya sebagai punca kemusnahan hutan.
“Malaysia sejak sekian lama telah memperkenalkan pelbagai dasar dan piawaian lestari seperti Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang mewajibkan perlindungan kawasan Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV), mengawal pembukaan hutan baharu dan melaksanakan pemulihan koridor hidupan liar,” katanya. Beliau menegaskan sambutan ini bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya merupakan manifestasi komitmen Malaysia terhadap keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemuliharaan biodiversiti. “Orang utan bukan alat untuk menyerang industri sawit, tetapi bukti bahawa sektor sawit mampan mampu menjadi rakan dalam menjaga kelestarian alam,” tambahnya.
Sambutan ini turut menerima sokongan daripada rakan strategik MPOGCF termasuk Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Pensijilan MSPO, Sawit Kinabalu Sdn. Bhd., Wildlife Rescue Unit (WRU), Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia serta FELDA.
Acara utama sambutan ialah Fun Walk sejauh 2.5 km di dalam kawasan zoo yang disertai lebih 500 peserta, di mana mereka perlu melalui beberapa ‘checkpoints’ untuk menjawab soalan kuiz berkaitan orang utan dan industri sawit. Pada sebelah petang, sambutan diteruskan dengan peraduan mewarna yang menarik penyertaan hampir 200 kanak-kanak. Aktiviti ini bukan sahaja mencungkil kreativiti, tetapi juga mendidik generasi muda mengenai kepentingan memelihara habitat semula jadi serta menanam kesedaran tentang tanggungjawab bersama dalam melindungi spesies terancam.
Majlis perasmian turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan Malaysia merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, YBhg. Dato’ Abdul Hadi Omar; Setiausaha Perbandaran, Majlis Perbandaran Taiping, Puan Hasmonaliza Hassan Basari; Pengarah Zoo Taiping & Night Safari, Dr. Muhamad Ridhwan Affendi dan Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud.
Sejak diperkenalkan pada 2023, Sambutan Hari Orang Utan Sedunia telah menjadi program andalan MPOGCF dalam mendidik masyarakat tentang peranan penting orang utan sebagai spesies penunjuk kesihatan ekosistem serta memupuk kefahaman terhadap kepentingan pembangunan lestari dalam industri sawit. Melalui sambutan ini, MPOGCF berhasrat untuk terus menghubungkan masyarakat dengan nilai pemuliharaan serta memperkukuh komitmen nasional terhadap usaha melindungi biodiversiti negara.
Sambutan Hari Orang utan Sedunia 2025 turut mendapat tajaan daripada SD Guthrie, Lets Play Performance, Carabao Energy Drink serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LTKN).