Skip to main content
Jelajah Sawit Hijau MPOGCF 2025 melabuhkan tirainya di Melawati Mall, Kuala Lumpur pada 22 November 2025. Majlis penutup disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Razali Mohamad, Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi), KPK.
Pada majlis sama, turut dilancarkan Buku Panduan Pengecaman Tapak Hidupan Liar di Lapangan hasil kerjasama MPOGCF dan PERHILITAN. Buku tersebut diterbitkan bagi membantu pengurusan ladang dan pekebun kecil mengenal pasti tapak kaki hidupan liar selaras dengan keperluan pensijilan MSPO dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Konservasi Hidupan Liar, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Tuan Chek Salan @ Mohd Saiful Mohd Zin, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj Ghulam Kadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, Andy Lee Yiew Meng, Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud dan Pengurus Operasi Suria FM, Borhanuddin Abdullah.
Siri jelajah penutup di Melawati Mall ini turut menampilkan kerjasama pelbagai rakan strategik seperti Malaysian Palm Oil Council (MPOC), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Barn Owl and Rodent Research Group (BORG), Earthworm Foundation (EF), Johor Plantations Group Berhad (JPG), Jabatan Kelestarian FELDA dan Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST).
Selain pameran, aktiviti lain turut mencuri perhatian pengunjung seperti permainan biodiversiti, teka berat tandan sawit, kuiz interaktif Kahoot dan sesi bersama artis tempatan yang berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan pengunjung. Pendekatan interaktif seperti ‘edutainment’ bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan biodiversiti dan amalan lestari dalam industri sawit Malaysia.
Jelajah Sawit Hijau MPOGCF telah menjelajah ke tiga buah lokasi sebelum ini antaranya di Aman Central Mall, Kedah, Mayang Mall, Terengganu dan Paradigm Mall, Johor Bahru. Kompleks beli belah dipilih kerana mudah diakses oleh orang awam.