Oleh Hannah Norbaqqa Syarul
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata konsep itu sudah terbukti sebagai pendekatan realistik dan praktikal yang boleh dilaksanakan secara berkesan di Malaysia.
Beliau berkata, keseimbangan antara usaha merancakkan industri sawit dan melindungi biodiversiti perlu menjadi agenda bersama kerajaan, syarikat perladangan, pekebun kecil, komuniti setempat serta badan pemuliharaan.
“Forum hari ini (kelmarin) membuktikan, konsep kewujudan bersama bukan lagi sekadar satu teori di atas kertas.
“Kami pada peringkat kementerian yakin keseimbangan antara keperluan pembangunan ekonomi, khususnya industri sawit dan pemeliharaan biodiversiti adalah matlamat yang boleh dicapai,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam Biodiversity Forum 2026 Appreciation Night, di sini, baru-baru ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF), Datuk Yusran Shah Mohd Yusof; Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Mohamad Helmy Othman Basha; Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Pareez Ghulam Kadir, serta Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud.
MSPO instrumen utama
Noraini berkata, dalam usaha memastikan kelestarian industri terus terpulihara, Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kekal menjadi instrumen utama negara bagi membuktikan komitmen Malaysia terhadap amalan sifar penebangan hutan, perlindungan kawasan gambut dan pemuliharaan kawasan konservasi bernilai tinggi.
Katanya, pematuhan kepada piawaian MSPO 2.0 yang diperkukuh turut menjadi naratif penting dalam menangkis kempen antisawit pada peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, Noraini berkata inisiatif program Diplomasi Orang Utan (OUDip) sebagai antara contoh terbaik pelaksanaan konsep kewujudan bersama yang kini semakin mendapat perhatian dunia.
Katanya, pendekatan itu mengangkat orang utan sebagai ‘duta kelestarian’ negara, membuktikan usaha pemuliharaan spesies terancam boleh bergerak seiring dengan pembangunan industri sawit.
Mengulas inisiatif itu, beliau berkata, negara pengimport dan rakan dagang sawit Malaysia digalakkan bukan sahaja membeli komoditi negara, malah berperanan sebagai penjaga menerusi program penajaan serta pembiayaan pemuliharaan orang utan secara in-situ di habitat asalnya.
“Malaysia menghantar mesej yang jelas kepada dunia bahawa kita bukan sekadar mempertahankan diri daripada tohmahan antisawit, tetapi secara aktif memimpin agenda pelestarian global,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru syarikat perladangan serta sektor korporat tampil menyokong usaha diterajui MPOGCF, termasuk program OUDip dan pelbagai inisiatif pemuliharaan lain.
Dalam pada itu, beberapa organisasi dan individu yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap usaha pemuliharaan biodiversiti turut menerima pengiktirafan.
Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Suziana Anak Gema, menerima Anugerah Pembentangan Poster Terbaik menerusi kajian mengenai penggunaan burung hantu sebagai kawalan biologi tikus di ladang sawit di Beluran, Sabah.
Anugerah Community Conservation Champion pula diberikan kepada Komuniti Sungai Ara Human-Elephant Coexistence Community di Kota Tinggi, Johor atas usaha mengurangkan konflik antara manusia dan gajah serta Komuniti Nurseri Kampung Tempenau di Lahad Datu, Sabah bagi projek pemulihan habitat orang utan menerusi penanaman pokok tempatan dan pemulihan kawasan hutan terosot.
Sementara itu, SD Guthrie Berhad menerima Most Outstanding Conservation Award 2026 atas pelbagai usaha pemuliharaan biodiversiti dan pengurusan konflik manusia-hidupan liar yang dilaksanakan sejak 2008.
Noraini berkata, penganugerahan ini adalah bukti jelas keseimbangan antara produktiviti perniagaan dan tanggungjawab menjaga alam sekitar mampu dilaksanakan dengan cemerlang.

