PUTRAJAYA, 6 Sept: Usaha pemuliharaan orang utan terus diperkasa sebagai sebahagian daripada komitmen industri sawit Malaysia untuk memastikan pembangunan ekonomi bergerak seiring dengan perlindungan alam sekitar dan biodiversiti negara.
Pengurus Komunikasi Strategik Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) Nazuri Ismail berkata, usaha itu penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat selain memberikan gambaran lebih positif terhadap industri sawit Malaysia yang sering dikaitkan dengan ancaman terhadap habitat hidupan liar.
“Ini merupakan acara tahunan yang kami anjurkan untuk mendidik orang ramai serta meningkatkan kesedaran mengenai usaha pemuliharaan orang utan yang dilaksanakan oleh industri sawit Malaysia,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Orang Utan Sedunia 2026 anjuran MPOGCF di Taman Botani, Putrajaya, hari ini.
Menurutnya, usaha berkenaan turut bertujuan meningkatkan reputasi industri sawit Malaysia supaya lebih berdaya saing di peringkat global, khususnya dalam menunjukkan komitmen terhadap perlindungan biodiversiti.
“Secara tidak langsung, usaha ini juga dapat meningkatkan lagi reputasi industri sawit Malaysia. Kita mahu menekankan bahawa industri sawit di Malaysia merupakan industri yang mampan,” katanya.
Dalam pada itu, Nazuri berkata, MPOGCF bekerjasama dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menjalankan survei populasi orang utan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai jumlah spesies berkenaan, khususnya di Sabah.
“Hasil kajian itu akan digunakan oleh pihak-pihak berwajib termasuk industri untuk merangka program-program yang lebih berkesan bagi meningkatkan lagi populasi orang utan,” katanya.
Beliau berkata, usaha pemuliharaan itu amat penting memandangkan orang utan mempunyai kadar pembiakan yang perlahan, dengan orang utan betina hanya melahirkan anak selepas sekitar tujuh hingga lapan tahun dan biasanya hanya seekor anak pada satu-satu masa.
“Dalam kita mengejar pembangunan ekonomi, kita jalankan seiring dengan perlindungan alam sekitar dan biodiversiti, termasuk orang utan,” katanya. -TVS.

