Skip to main content

PUTRAJAYA , 6 September – Sebanyak RM200,000 disumbangkan industri sawit menerusi Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) untuk memperkukuh usaha pemuliharaan serta perlindungan habitat Orang Utan di Sabah.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata peruntukan itu akan digunakan khusus bagi memulihara kawasan habitat serta menyokong aktiviti penguatkuasaan di lapangan.

Beliau berkata usaha berkenaan penting bagi memastikan kelangsungan spesies yang diancam kepupusan itu, selain meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan menjaga khazanah warisan negara.

“Hasil kajian dan pemantauan terkini di kawasan Sawit Kinabalu Group menunjukkan terdapat sekitar 55 hingga 60 ekor Orang Utan melibatkan 2,632 hektar yang kini berada di bawah penyeliaan rapi.

“Peruntukan ini membantu menyediakan kemudahan seperti bot peronda bagi pasukan renjer serta program latihan pemantauan hidupan liar selama dua tahun dengan kerjasama Danau Girang Field Centre hijau untuk pergerakan hidupan berkenaan,” katanya demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Orang Utan Sedunia 2026 di sini, hari ini.

Tambah Datuk Seri Dr. Noraini, orang utan jantan memerlukan laluan untuk bergerak, berbanding Orang utan betina yang menetap di sesuatu lokasi.

Justeru, katanya, pemeliharaan habitat amat penting bagi mengelakkan laluan pergerakan spesies itu terputus akibat aktiviti pembersihan hutan.

Ujar beliau, kementerian turut berhasrat memperluas kajian dan program pemuliharaan ke kawasan lain menerusi kerjasama dengan sektor swasta.

Sambutan tahun ini menyaksikan penyertaan lebih 1,500 peserta merentasi pelbagai kategori larian, menyaksikan kesemua hasil kutipan penyertaan disalurkan sepenuhnya ke Tabung Konservasi MPOGCF.

Berita RTM