Skip to main content
Kajian oleh pasukan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) secara umum mendapati lanskap kelapa sawit yang mempunyai nilai konservasi tinggi (HCV) merekodkan kehadiran spesies-spesies haiwan terancam.
Penemuan daripada kajian itu termasuk kehadiran hutan yang menggalakkan kehadiran hidupan liar seperti gajah, tapir, Harimau Kumbang, rusa, Landak Raya, kijang dan Beruang Matahari.
Selain itu, ladang yang berdekatan dengan hutan menunjukkan servis ekosistem yang lebih baik berdasarkan kehadiran burung insektivor yang berpotensi menjadi ejen kawalan biologi terhadap serangga perosak seperti Coleoptera dan Lepidoptera.
Salah satu penemuan penting daripada kajian itu ialah burung Murai Kampung (Copsychus saularis) yang menjadi spesies dominan di ladang sawit dan berpotensi sebagai agen kawalan biologi kepada serangga perosak.
Kajian ke atas najis Murai Kampung oleh pasukan penyelidik itu telah menemui pelbagai spesies serangga perosak yang biasa terdapat di ladang sawit.
Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) menerusi geran MyMampan menaja kajian oleh penyelidik UKM itu yang bertajuk Penyelidikan Lanskap Ladang Sawit Mesra Hidupan Liar.
Kajian selama tiga tahun itu telah dijalankan di empat ladang sawit FGV.
Ketua Penyelidik, Prof. Madya Dr. Farah Shafawati Mohd Taib telah membentangkan dapatan kajian itu dalam Kolokium Penyelidikan Biodiversiti di Lanskap Sawit pada 10 September 2025.
Kolokium dihadiri Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud, Pengurus Besar Kanan, Pensijilan dan Pematuhan Kelestarian, Kumpulan Kelestarian FGV, FGV Holdings Berhad, Ameer Izyanif dan Timbalan Setiausaha Bahagian Kemajuan Industri Sawit dan Sago, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Nurul Marha Mohamed.
Laporan lengkap dapatan kajian akan diterbitkan selepas kajian penyelidikan selesai sepenuh pada November ini.