TAIPING, 1 Nov (Bernama) — Malaysia memperkenalkan pelbagai dasar dan piawaian lestari sejak sekian lama termasuk Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang mewajibkan perlindungan kawasan Nilai Konservasi Tinggi (HCV), pengawalan pembukaan hutan serta pemulihan koridor hidupan liar.
Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi Datuk Yusran Shah Mohd Yusof berkata naratif orang utan sering dijadikan simbol kempen alam sekitar oleh pihak tertentu yang mahu menggambarkan industri sawit sebagai punca utama kemusnahan hutan, bersifat berat sebelah dan perlu diperbetulkan.
“Statistik menunjukkan lebih 50 peratus habitat orang utan di Sabah dan Sarawak kini berada dalam kawasan perlindungan dan sebahagian besar pembiayaan konservasi datang daripada hasil industri sawit melalui inisiatif seperti Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF), Sawit Kinabalu dan syarikat tempatan lain.
“Orang utan bukan alat serangan terhadap sawit, sebaliknya bukti industri sawit mampan mampu menjadi rakan strategik dalam menjaga alam,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Orang Utan Sedunia 2025 di Zoo Taiping & Night Safari di sini hari ini.
Justeru, Yusran Shah yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF menegaskan sambutan Hari Orang Utan Sedunia yang diadakan setiap tahun bukan sekadar acara simbolik, tetapi kenyataan bahawa Malaysia komited terhadap keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemuliharaan biodiversiti.
Beliau berkata MPOGCF sebagai entiti amanah di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi memainkan peranan penting menjajarkan sektor sawit dengan agenda konservasi, yang bukan hanya menjaga imej minyak sawit negara malah membuktikan kemakmuran ekonomi dan kelestarian alam boleh bergerak seiring.

