Skip to main content

22 NOVEMBER – Jelajah Sawit Hijau MPOGCF 2025 melabuhkan tirainya di lokasi terakhir iaitu Melawati Mall, Kuala Lumpur, selepas siri penganjuran di tiga negeri terdahulu: Kedah, Terengganu dan Johor.

Majlis penutup disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perladangan dan Komoditi, YBhg. Dato’ Razali bin Mohamad.

Menurut Dato’ Razali, MPOGCF berperanan sebagai pemangkin menyeimbangkan kemajuan industry dengan pemeliharaan alam semula jadi.

“Melalui pelbagai kerjasama strategik, MPOGCF telah membiayai 24 projek biodiversiti di seluruh negara merangkumi empat (4) bidang utama penghutanan semula, pemuliharaan hidupan liar, amalan pertanian mampan dan penyelidikan,” katanya.

“Antara inisiatif penting termasuk Projek Pemuliharaan Habitat Orang Utan di Hutan Simpan Ulu Segama, Sabah, Kajian Populasi Gajah dan Orang Utan Borneo, Dana fasiliti di Santuari Gajah Borneo (BES), Penanaman rumput napier di koridor hidupan liar Sabah, sistem amaran awal gajah di Mersing, Projek Konservasi Harimau Malaya serta kempen ‘The Other Malaysians’ yang mengetengahkan Harimau Malaya, Gajah Asia dan Orang Utan sebagai simbol keseimbangan pembangunan dan alam sekitar,’ katanya.

Inisiatif ini berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa kemajuan industri sawit berjalan seiring dengan pemuliharaan biodiversiti. Industri sawit kini merupakan antara penyumbang utama kepada pemuliharaan biodiversiti negara. Usaha yang dijalankan oleh MPOGCF juga turut mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Pembangunan Mampan SDG 15: Kehidupan di Darat daripada Junior Chamber International (JCI) Malaysia menerusi Inisiatif Burung Pungguk Jelapang untuk Pekebun Kecil Sawit (BOSI) yang merupakan projek kajian bersama Universiti Sains Malaysia. Untuk siaran segera

Siri jelajah terakhir ini juga turut diserikan dengan penyertaan rakan strategic seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Malaysian Palm Oil Council (MPOC), TDM Plantation, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Barn Owl and Rodent Research Group (BORG), Earthworm Foundation (EF), Johor Plantations Group Berhad (JPG), Jabatan Kelestarian FELDA dan Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST).

Pada majlis yang sama juga, Dato’ Razali telah melancarkan Buku Panduan Pengecaman Tapak Hidupan Liar di Lapangan. Buku hasil kerjasama MPOGCF dan PERHILITAN tersebut diterbitkan bagi menyokong usaha pemuliharaan dan membantu pengurusan ladang dan pekebun kecil khususnya, melalui pengecaman tapak kaki hidupan liar bagi memenuhi piawaian pensijilan MSPO selaras dengan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Sebanyak 89.6 peratus kawasan sawit Malaysia atau lebih 5 juta hektar telah menerima pensijilan MSPO yang diiktiraf oleh Kesatuan Eropah (EU) sebagai piawaian lestari di bawah EU Deforestration Regulation (EUDR).

Hadir sama ke majlis tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Konservasi Hidupan Liar, Chek Salan @ Mohd Saiful bin Mohd Zin; Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), YBhg. Datuk Dr. Parveez Hj. Ghulam Kadir; serta Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud.

Mengenai MPOGCF

Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) untuk menyokong usaha pemuliharaan berkaitan industri minyak sawit dan mencerminkan komitmennya ke arah memulihara alam sekitar.

Dengan pelbagai usaha pemuliharaan alam sekitar yang dijalankan oleh MPOGCF, adalah diharapkan ia akan meningkatkan reputasi industri minyak sawit untuk mencapai pengiktirafan global bagi amalan mampan.

MPOGCF sentiasa memerhatikan kawasan kritikal yang berkaitan dengan pemuliharaan hijau dalam industri kelapa sawit bagi perlindungan dan pengurusan jangka pendek, pertengahan dan panjang, serta pemuliharaan warisan semula jadi negara.

Kami komited dalam mempamerkan kepada dunia bahawa industri minyak sawit Malaysia adalah industri yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Pembiayaan yang diberikan adalah sebahagian daripada usaha mempamerkan komitmen industri dalam memulihara alam semula jadi dan mempromosikan landskap hijau.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai MPOGCF, sila layari www.mpogcf.org.

Dikeluarkan oleh Jabatan Komunikasi Strategik MPOGCF. Jika ada sebarang pertanyaan, sila hubungi Pengurus Komunikasi Strategik MPOGCF, Tuan Nazuri Tuan Ismail ([email protected] / 012-3479144) atau Eksekutif Kanan Komunikasi Strategik, Mohd Ariff Ikram ([email protected] / 019-2592747)

Kenyataan Akhbar Jelajah Sawit Hijau 2025