Skip to main content
Majlis Penyampaian Kotak Rezeki dan Berbuka Puasa bersama Pekebun Kecil Sawit anjuran MPOGCF di Dewan Seri Sulong, Batu Pahat, Johor pada 14 Mac 2026 berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Sebanyak 200 kotak rezeki yang mengandungi pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung dan gula diagihkan kepada penerima yang terdiri daripada pekebun kecil sawit dan keluarga kurang berkemampuan sekitar Parit Sulong dan Batu Pahat.
Majlis ini turut dihadiri, Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komiditi merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, Dato’ Abdul Hadi Omar dan Dr Ramle Moslim, Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud.
Hadir sama, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir; Pemangku Ketua Pengawai Eksekutif Malaysia Sustainable Palm Oil (MSPO), Mohd Hasbollah Suparyono; Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Adzmi Hassan dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Hussain Jahit.
Dalam ucapan perasmian, Noraini berkata, inisiatif Kotak Rezeki ini bukan sekadar pemberian tetapi tanda bahawa industri sawit tidak lupa kepada pekebun kecil yang bekerja keras di ladang, di bawah terik matahari, demi memacu ekonomi negara.
Beliau juga memaklumkan, kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan kadar bantuan subsidi diesel daripada RM200 kepada RM300 sebulan sebagai langkah awal untuk mengurangkan beban pekebun kecil kesan kenaikan harga minyak global.
“Bantuan tambahan RM100 ini akan disalurkan mulai 17 Mac 2026. Kepada pekebun kecil yang masih belum membuat permohonan, bolehlah berjumpa dengan pegawai kementerian atau agensi untuk mendaftar.
“Program bantuan khas susidi ini adalah bukti komitmen Kerajaan untuk memastikan tiada golongan yang tertinggal dalam arus penyasaran semula subsidi,” katanya.
Terdahulu, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong menyertai pasukan MPOGCF dan Harian Metro mengagihkan 1,000 pek bubur lambuk ke Balai Polis Parit Sulong, Balai Polis Seri Medan, Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat, Hospital Putra Batu Pahat dan Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Mohd Khalid.
Program Penyampaian Kotak Rezeki dan Berbuka Puasa bersama Pekebun Kecil Sawit memasuki tahun kedua yang ditaja dan dianjurkan MPOGCF di bawah Tanggungjawab Kelestarian Korporat (CSR) dengan kerjasama Harian Metro dan PKPKM.