PETALING JAYA – Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) berjaya memacu inisiatif pengurusan interaksi efisien yang mengintegrasikan komuniti pekebun kecil dan syarikat perladangan sawit bagi mencapai kehidupan bersama gajah liar yang pertama seumpamanya di Semenanjung Malaysia.
Model pengurusan interaksi hidupan liar itu diwujudkan hasil kerjasama MPOGCF dan Earthworm Foundation (EF) melalui projek Mencapai Kewujudan Bersama Gajah (Achieving Coexistence with Elephant) di Sg. Ara, Kota Tinggi, Johor.
Projek perintis itu dilaksanakan di kawasan seluas 8,400 hektar turut melibatkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang bertujuan memastikan kelangsungan hidup gajah liar tanpa menjejaskan keselamatan dan sumber pendapatan pekebun kecil di kawasan terlibat.
Sepanjang pelaksanaan projek, seramai 412 individu terdiri dari komuniti Kampung Sungai Ara, FELCRA serta wakil agensi kerajaan dan syarikat perladangan telah menyertai pelbagai bengkel peningkatan kapasiti yang memfokuskan kepada pengurusan interaksi manusia-hidupan liar, penggunaan teknologi dron dan kaedah mitigasi terbaik.
Antara pencapaian utama ialah pemasangan 10 unit Sistem Amaran Awal (EWS) di kawasan perladangan KPSA dan FELCRA, yang membantu komuniti mengesan kehadiran gajah lebih awal. Untuk siaran segera
Selain itu, rondaan secara berkala dengan sokongan teknologi dron turut dilaksanakan, dan dua belia dari Sungai Ara yang juga merupakan pekebun kecil sawit berjaya ditauliahkan sebagai juruterbang dron oleh Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM).
Projek ini turut menyaksikan pelaksanaan Mesyuarat Jawatankuasa Kewujudan Bersama Manusia-Gajah (HEC) yang pertama pada November 2023, telah berjaya merangka dan meluluskan carta alir pengurusan interaksi manusia dan gajah, penubuhan rasmi Jawatankuasa HEC serta Terma Rujukan (ToR) untuk memastikan keberkesanan dan hala tuju pengurusan ini lebih sistematik dan terselaras.
Sebagai usaha meningkatkan kesedaran awam, World Elephant Day 2024 peringkat Sg. Ara turut dianjurkan di bawah Jawatankuasa HEC Sg Ara dengan kehadiran lebih 650 orang melibatkan kerjasama pekebun kecil sawit, agensi kerajaan, syarikat perladangan, NGO dan institusi pengajian tinggi.
Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud berkata, inisiatif ini membuktikan bahawa kehidupan bersama hidupan liar seperti gajah boleh diurus secara berkesan dengan penglibatan aktif pekebun kecil dan pelbagai pihak berkepentingan.
“Projek ini bukan sahaja membantu meningkatkan keupayaan komuniti untuk berinteraksi secara harmoni dengan kehadiran gajah liar, tetapi juga memberi kesedaran dan kemahiran baharu kepada komuniti pekebun kecil. Melihat kepada kejayaan di Sungai Ara, MPOGCF berhasrat untuk memperluaskan model projek ini ke kawasan lain di Semenanjung Malaysia yang turut berdepan situasi kehadiran gajah, bagi memastikan keseimbangan antara aktiviti perladangan dan pemuliharaan biodiversiti dapat dicapai,” katanya.
Beliau menambah, MPOGCF komited meneruskan sokongan terhadap inisiatif-inisiatif konservasi berimpak tinggi khususnya yang memberi manfaat langsung kepada komuniti pekebun kecil sawit di negara ini.
Sepanjang pelaksanaan projek, komuniti di kawasan terlibat kini mempunyai asas kemahiran dan pengetahuan dalam pengurusan interaksi manusia-gajah yang lebih sistematik. Bagaimanapun, usaha meningkatkan kapasiti ini perlu diteruskan secara berperingkat dari semasa ke semasa, selaras dengan tingkah laku gajah liar yang sentiasa dinamik dan boleh berubah mengikut persekitaran. Melalui inisiatif berterusan ini, ia dapat membantu mengurangkan risiko kejadian tidak diingini termasuk insiden kecederaan atau kemalangan jiwa, selain mengelakkan kerosakan harta benda serta memastikan keselamatan dan kelangsungan hidup gajah terus terpelihara dalam kawasan landskap perladangan sawit. Untuk siaran segera
Sementara itu, Pengurus Program Hutan dan Alam Sekitar EF, Khalis Abdulrahman berkata projek ini amat penting untuk menggalakkan persepsi positif terhadap gajah Asia dan usaha pemuliharaannya, di samping memastikan daya ketahanan pekebun kecil.
“EF berterima kasih atas dana dan sokongan daripada MPOGCF dan MPOB dalam merealisasikan projek kewujudan bersama manusia dan gajah ini. Kami juga berharap Jawatankuasa HEC Sg. Ara akan terus mengekalkan momentum mereka, dan menjadi pusat kecemerlangan serta model yang boleh dicontohi di kawasan berisiko lain,” katanya.
Mengenai MPOGCF
Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) untuk menyokong usaha pemuliharaan berkaitan industri minyak sawit dan mencerminkan komitmennya ke arah memulihara alam sekitar.
Dengan pelbagai usaha pemuliharaan alam sekitar yang dijalankan oleh MPOGCF, adalah diharapkan ia akan meningkatkan reputasi industri minyak sawit untuk mencapai pengiktirafan global bagi amalan mampan.
MPOGCF sentiasa memerhatikan kawasan kritikal yang berkaitan dengan pemuliharaan hijau dalam industri kelapa sawit bagi perlindungan dan pengurusan jangka pendek, pertengahan dan panjang, serta pemuliharaan warisan semula jadi negara.
Kami komited dalam mempamerkan kepada dunia bahawa industri minyak sawit Malaysia adalah industri yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Pembiayaan yang diberikan adalah sebahagian daripada usaha mempamerkan komitmen industri dalam memulihara alam semula jadi dan mempromosikan landskap hijau.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai MPOGCF, sila layari www.mpogcf.org.
Dikeluarkan oleh Jabatan Komunikasi Strategik MPOGCF. Jika ada sebarang pertanyaan, sila hubungi Pengurus Komunikasi Strategik MPOGCF, Tuan Nazuri Tuan Ismail ([email protected] / 012-3479144) atau Eksekutif Kanan Komunikasi Strategik, Mohd Ariff Ikram ([email protected] / 019-2592747)