SIARAN MEDIA
MPOGCF SUMBANG RM 49,350 BAGI MENYOKONG PEMULIHARAAN BERUANG MATAHARI
Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) menyerahkan sumbangan berjumlah RM49,350 kepada Bornean Sun Bear Conservation Centre (BSBCC) di Sepilok, Sandakan.
Sumbangan ini sebagai sokongan MPOGCF kepada usaha-usaha yang dilakukan oleh BSBCC dalam memulihara Beruang Matahari Borneo yang semakin diancam risiko kepupusan.
MPOGCF berpendapat, program rehabilitasi dan pelepasan semula yang dilaksanakan oleh BSBCC ini merupakan model pemuliharaan yang mampan dan berimpak tinggi.
Sumbangan MPOGCF tu disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan Dan Komoditi yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, YBhg. Dato’ Abdul Hadi Omar kepada Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif BSBCC, Dr Wong Swie Te ketika mengetuai lawatan MPOGCF pada 17 Februari lalu.
Turut menyertai lawatan itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perladangan Dan Komoditi, YBhg. Dato’ Razali Mohamad; Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Ramli Hj Kasin; Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, YBrs. Dr Ramlee Moslim dan YBrs. Andy Lee Yiew Meng; serta Pengurus Besar MPOGCF, YBrs. Hairulazim Mahmud.
Penglibatan MPOGCF yang mewakili penggiat-penggiat industri sawit Malaysia membuktikan keseriusan dan kesungguhan industri ini untuk memelihara dan memulihara khazanah negara. Ia juga menghantar isyarat yang jelas kepada dunia bahawa selain mementingkan keuntungan ekonomi, industri sawit negara juga tidak melupakan tanggunggjawab melindungi ekologi dan biodiversiti.
Mengenai MPOGCF
Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) untuk menyokong usaha pemuliharaan berkaitan industri minyak sawit dan mencerminkan komitmennya ke arah memulihara alam sekitar.
Dengan pelbagai usaha pemuliharaan alam sekitar yang dijalankan oleh MPOGCF, adalah diharapkan ia akan meningkatkan reputasi industri minyak sawit untuk mencapai pengiktirafan global bagi amalan mampan.
MPOGCF sentiasa memerhatikan kawasan kritikal yang berkaitan dengan pemuliharaan hijau dalam industri kelapa sawit bagi perlindungan dan pengurusan jangka pendek, pertengahan dan panjang, serta pemuliharaan warisan semula jadi negara.
Kami komited dalam mempamerkan kepada dunia bahawa industri minyak sawit Malaysia adalah industri yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Pembiayaan yang diberikan adalah sebahagian daripada usaha mempamerkan komitmen industri dalam memulihara alam semula jadi dan mempromosikan landskap hijau.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai MPOGCF, sila layari www.mpogcf.org.
Dikeluarkan oleh Komunikasi Strategik MPOGCF. Sebarang pertanyaan, sila hubungi Pengurus Komunikasi Strategik MPOGCF, Tuan Nazuri Tuan Ismail ([email protected] / 012-3479144) atau Eksekutif Kanan Komunikasi Strategik, Mohd Ariff Ikram ([email protected] / 019-2592747)

