Skip to main content
Majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) dan Borneo Samudera Sdn Bhd telah berlangsung di Sungai Pin Conservation Area (SPnCA), Kinabatangan Sabah pada 2 Oktober yang lalu.
Memorandum Persefahaman (MoU) yang sebelum ini telah ditandatangani antara MPOGCF dan Borneo Samudera Sdn. Bhd. (BSSB), iaitu anak syarikat Kumpulan Sawit Kinabalu, telah ditukarkan secara rasmi dalam satu majlis antara Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, YBhg. Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof dan Pengarah Urusan Sawit Kinabalu, YBhg. Datuk Victor Ationg.
Dato’ Yusran yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF berkata, memorandum ini amat penting dalam usaha melaksanakan Program Diplomasi Orang Utan (OUDip) secara pemuliharaan in-situ.
“Matlamatnya adalah untuk menggalakkan Orang utan bergerak bebas tanpa ancaman mahupun gangguan daripada aktiviti manusia, operasi perladangan, serta aktiviti pelancongan yang tidak terkawal,” katanya.
Kawasan yang dinamakan Sungai Pin Conservation Area (SPnCA) ini telah dikenal pasti sebagai High Conservation Value (HCV) dan merupakan habitat semula jadi bagi 55 individu orang utan, di samping kira-kira sebanyak 10,000 hingga 11,000 orang utan di seluruh Sabah ketika ini.
Dalam majlis yang sama, MPOGCF bersetuju untuk menyumbang RM20,000 bagi program OUDip bagi memastikan agenda pemuliharaan ini terus memberi manfaat kepada industri sawit negara.