Di tengah-tengah landskap pertanian mendominasi kawasan luar bandar Malaysia, terdapat satu konflik senyap kian mencabar kelestarian alam, iaitu antara manusia dan hidupan liar.
Kes gajah merosakkan tanaman di Pahang, Perak dan Johor, harimau masuk ke kawasan perkampungan Orang Asli di Kelantan, serta kemunculan beruang matahari dan kera di ladang kelapa sawit menunjukkan kompleksnya hubungan antara manusia dan hidupan liar, terutama apabila habitat semula jadi semakin berkurang.
Ini ditambah lagi dengan insiden pada awal pagi 11 Mei lalu membabitkan sebuah lori melanggar mati seekor anak gajah di kawasan laluan Jeli-Gerik.
Konflik ini bukan sahaja memberi kesan kepada kehidupan manusia dari aspek keselamatan dan ekonomi, tetapi mengancam populasi hidupan liar yang berada dalam kategori terancam. Dalam realiti ini, timbul satu persoalan besar, mampukah manusia dan hidupan liar berkongsi ruang hidup secara aman.