Skip to main content
Pengurus Pemuliharaan dan Kemampanan MPOGCF, Ahmad Shahdan Kasim telah dijemput sebagai panel dalam forum bertajuk “Peranan Rakan Strategik dalam Usaha Konservasi Harimau Malaya” sempena Sambutan Hari Harimau Sedunia 2025 yang berlangsung di AEON Mall, Shah Alam.
Dalam sesi forum tersebut, beliau memaklumkan bahawa MPOGCF telah membelanjakan lebih RM2 juta daripada peruntukan keseluruhan RM3.2 juta untuk program Konservasi Harimau Malaya.
Menurut beliau, konservasi harimau Malaya merangkumi dua pendekatan iaitu in-situ, yang melibatkan habitat asal, dan ex-situ, yang dijalankan di luar habitat semula jadi. Harimau yang diselamatkan, khususnya yang tidak berpeluang untuk dilepaskan kembali ke hutan, akan dibiakkan di bawah program khas ini. Anak-anak harimau yang dilahirkan pula akan dimasukkan ke dalam program rewilding bagi membolehkan mereka kembali berdikari dan dilepaskan ke habitat asal pada masa hadapan.
“Ini adalah salah satu inisiatif bersama PERHILITAN yang sedang dilaksanakan bagi memastikan kelestarian harimau Malaya terus terpelihara,” ujarnya.
Tambah beliau, melalui kempen The Other Malaysian, MPOGCF turut menggalakkan para peladang dan pengusaha kelapa sawit agar lebih peka terhadap pemeliharaan alam sekitar dan perlindungan hidupan liar yang mungkin wujud dalam landskap kelapa sawit, termasuk harimau.
Beliau turut menyatakan harapan agar spesies harimau Malaya terus wujud di Malaysia dan menyeru rakyat Malaysia agar terus menyokong industri sawit negara.
“Belilah produk minyak sawit keluaran Malaysia. Sekiranya syarikat atau pekebun kecil memperoleh pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), ini bermakna mereka telah melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah pemuliharaan biodiversiti dan penjagaan alam sekitar. Kita wajar berasa bangga dengan usaha ini,” katanya.
Sementara itu, penglibatan MPOGCF sepanjang dua hari pameran yang berlangsung dari 26 hingga 27 Julai 2025 telah meningkatkan kesedaran orang ramai berkenaan peranan MPOGCF yang mewakili industri sawit dalam memulihara biodiversiti.