Kota Bharu: Segerakan pembinaan koridor gajah dan penyediaan kawasan rehat seperti ‘bank makanan’ antara langkah kritikal yang perlu dilakukan kerajaan bagi mengelak kes konflik dan pelanggaran gajah berulang.
Pensyarah Pengurusan Hidupan Liar dan Ekologi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Kamarul Ariffin Kambali @ Hambali berkata, pada masa sama, penguatkuasaan had laju khas di kawasan laluan hidupan itu perlu dilakukan.
Katanya, sudah tiba masanya semua pihak melihat isu yang berlaku itu secara holistik kerana ia bukan untuk gajah semata-mata sebaliknya harimau, beruang matahari dan sebagainya
“Tindakan segera perlu diambil antaranya ialah gabungan penyelesaian fizikal dan peraturan jalan raya diperlukan bagi melindungi gajah dan pengguna jalan raya.
“Pembinaan koridor gajah adalah asasnya. Tapi ia perlu disertai dengan kawasan rehat seperti ‘bank makanan’ iaitu kawasan khas yang ditanam dengan tumbuhan kegemaran gajah bagi mengehadkan pergerakan mereka.
“Selain itu, pelaksanaan had laju maksimum di kawasan lintasan gajah, berserta papan tanda amaran dan lampu amaran automatik yang diaktifkan oleh sensor pergerakan gajah juga boleh diambil.
“Kawasan rehat atau ‘food bank’ boleh menjadi titik pemulihan habitat, manakala had laju khas akan lindungi nyawa manusia dan haiwan,” katanya ketika dihubungi
Mengulas lanjut katanya, satu kajian awal tentang lokasi sesuai bagi pembinaan koridor dan ‘bank makanan’ sudah dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari UMK, Perhilitan bersama Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) di Jeli, namun pelaksanaannya masih belum dapat dilaksanakan.
Katanya, rata-rata penduduk tempatan dilihat menyokong usaha berkenaan bagi mengurangkan konflik antara manusia-gajah untuk jangka masa panjang.
“Peningkatan berterusan kes konflik manusia dan gajah serta insiden pelanggaran haiwan liar di lebuh raya negara mencetuskan kebimbangan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat dan pencinta alam sekitar.
“Berdasarkan rekod daripada Perhilitan, 4,919 aduan konflik manusia-gajah dilaporkan bagi tahun 2020 sehingga 2024. Konflik ini termasuk kerugian harta benda yang direkodkan dan jumlah kerugian dianggarkan RM39.4 juta.
“Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, sebanyak lapan gajah direkodkan mati dilanggar di Semenanjung Malaysia termasuk tiga daripadanya berlaku pada tahun ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, situasi menyayat hati seekor gajah betina seakan ‘meratapi’ kematian anaknya yang dilanggar lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, pada Ahad lalu.