Skip to main content

KUALA LUMPUR – Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) terus komited menyokong dan menjaga inisiatif pemuliharaan alam sekitar, hidupan liar dan amalan mampan berkaitan industri minyak sawit, bagi memelihara nama baik negara.

Pengurus Besar MPOGCF, Zamakhshari Muhamad berkata, pihaknya sentiasa berusaha membersihkan imej Malaysia daripada dakwaan negatif yang tular di luar negara mengenai pemuliharaan alam sekitar dan hidupan liar di negara ini.

“Matlamat penubuhan MPOGCF ini adalah bagi memastikan usaha pemuliharaan biodiversiti dan hidupan liar di Malaysia disebarluas untuk membersihkan imej negara, selain membuktikan industri sawit adalah mampan.

“Walaupun kita tahu, serangan terhadap minyak sawit ini sebenarnya adalah untuk melindungi kepentingan minyak sayuran lain, tetapi berselindung di sebalik isu kesihatan, alam sekitar dan kemampanan,” katanya pada Majlis Hi-Tea bersama media di sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha membuktikan Malaysia tidak menjejaskan alam sekitar demi industri sawit, perlu diperkukuhkan bagi menangkis dakwaan berniat untuk menjatuhkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Katanya, kerjasama dari semua pihak, termasuk badan bukan kerajaan, amat diperlukan bagi melindungi dan memperkasakan industri minyak sawit yang menjadi penyumbang keempat terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“MPOGCF menjadi sebuah entiti baharu yang menyokong pemuliharaan alam sekitar dan hidupan liar, malah menjaga amalan mampan yang berkaitan dengan serta dalam industri minyak sawit Malaysia.

“Pelbagai projek dan inisiatif pemuliharaan biodiversiti serta hidupan liar yang dimulakan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) melalui Malaysian Palm Oil Wildlife Conservation Fund (MPOWCF) sudah diambil alih dan kini diteruskan MPOGCF,” ujarnya.

Tambah beliau, antara program dilaksanakan pihaknya adalah Program Konservasi Harimau Malaya dan Borneo Elephant Sanctuary di Kinabatangan, Sabah serta penajaan ‘Wildlife Rescue Unit’ Sabah.

Sumber: Getaran