Skip to main content
Seramai 50 peserta menyertai Kursus Latihan Biodiversiti dan kawasan Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV) kepada Pekebun Kecil Kelapa Sawit siri ke-3 yang diadakan di Kuala Kangsar, Perak pada 5 dan 6 Oktober 2022.
Kursus latihan ini dianjur dan dibiayai Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) dengan kerjasama Sime Darby Plantation (SDP) dan Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM).
Kursus ini merupakan sumbangan MPOGCF kepada pekebun-pekebun kecil dalam meningkatkan kesedaran mengenai biodiversiti dan HCV di ladang kelapa sawit.
Ini kerana, pengurusan biodiversiti dan HCV yang baik di ladang kelapa sawit merupakan salah satu komponen penting dalam pematuhan bagi mengekalkan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Dalam kursus itu, Ketua Jurulatih dari Unit Konservasi dan Biodiversiti SDP, Aida Abd Ghani telah menerangkan tentang dasar dan undang-undang di Malaysia bagi melindungi biodiversiti dan HCV.
Beliau menerangkan tanggungjawab pekebun-pekebun kecil melindungi, memelihara dan memulihara biodiversiti dan kawasan-kawasan HCV di ladang kelapa sawit seperti yang ditetapkan MSPO.
Azlina Zakaria dari Sime Darby Plantation Research pula menerangkan pengurusan bersepadu perosak kelapa sawit berdasarkan pengalaman SDP.
Beliau memberi contoh keberkesanan kaedah kawalan secara biologi seperti penggunaan burung hantu bagi mengawal tikus dan penanaman tumbuhan bermanfaat seperti Cassia cobanensis (Senna), Antigonon leptopus (Mexican creeper) dan Turnera subulata (White buttercup).
Selain ceramah, peserta-peserta juga dilibatkan dalam aktiviti outdoor, kuiz dan pembentangan secara berkumpulan. Pada hari terakhir, peserta-peserta diberikan sijil penyertaan.
Kursus latihan ini diseliakan oleh dua pegawai dari MPOGCF iaitu Zalifah Ramli dan Fazrin Munirah Atan, manakala PKPKM diwakili Naib Presiden 1, PKPKM Negeri Perak, Meor Harun Meor Osman.