MPOGCF dalam satu kenyataan berkata, dana itu melibatkan pelbagai usaha antaranya pembiayaan makanan dan ubatan, penyelidikan serta program pembangunan kapasiti bertujuan meningkatkan modal insan dalam kalangan petugas di pusat konservasi.
Mereka turut melaksanakan Program Pengayaan Habitat Harimau Malaya di Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) di Lanchang, Pahang pada 21 Januari 2025 dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).
“Inisiatif Program Pengayaan Habitat Harimau Malaya ini adalah sebahagian daripada Program Konservasi Harimau Malaya bertujuan memulihara dan meningkatkan populasi spesies ini secara ex-situ.
“Program ini bertujuan meningkatkan keberkesanan proses rehabilitasi dan peliharaan semula harimau, mempersiapkan haiwan tersebut untuk kembali ke habitat asal supaya lebih berdaya tahan,” katanya pada Selasa.
Program itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Konservasi), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Fakhrul Hatta Musa; Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud dan pegawai-pegawai kanan Bahagian Industri Sago dan Sawit (BISS) KPK.
Dalam pada itu, menurut MPOGCF, mereka turut melaksanakan aktiviti penanaman pokok pelbagai spesies bagi memastikan Harimau Malaya dapat menyesuaikan diri dengan habitatnya.
Ujarnya, program tersebut merupakan usaha industri sawit Malaysia dalam menyokong pemuliharaan alam sekitar dan konservasi biodiversiti.
“Sebanyak 95 pokok pelbagai spesis turut ditanam sebagai langkah penting untuk memastikan kurungan harimau di MTCC berada dalam keadaan kondusif seperti habitat semula jadinya.
“Aktiviti penanaman pokok ini pula membantu memperkayakan lagi ekosistem di MTCC sekali gus menjadikannya lebih lestari untuk jangka masa panjang,” ujarnya.