Skip to main content
Siri ketiga Jelajah Sawit Hijau MPOGCF 2025 berlangsung meriah di Paradigm Mall Johor Bahru pada 15 November 2025 dengan kehadiran seisi keluarga yang tidak melepaskan peluang menimba ilmu mengenai industri sawit mampan dan hidupan liar. Selari dengan matlamat Sustainable Development Goals (SDG), inisiatif ini menekankan keseimbangan antara people, planet dan profit, seruan penting dalam memastikan industri sawit Malaysia terus mampan, inklusif dan bertanggungjawab. Gabungan ‘edutainment’ iaitu pendidikan dan hiburan terbukti berjaya menarik minat pengunjung melalui permainan biodiversiti, pertandingan mewarna, podcast bersama rakan strategik, kuiz interaktif Kahoot, pameran informatif bersama rakan strategik MPOGCF seperti PERHILITAN Johor, MEME (Management & Ecology of Malaysian Elephants), Earthworm Foundation, Jabatan Kelestarian FELDA dan Johor Plantations Group Berhad. Pendekatan visual, interaktif dan hands-on membantu mesej sampai dengan lebih berkesan.
Bukan sahaja aktiviti interaktif menjadi tumpuan, malah kehadiran penyanyi popular tanah air seperti Siti Nordiana, Black dan Ezad Lazim yang turut menyampaikan mesej sokongan terhadap program ini serta membawa naratif positif berkaitan industri sawit dan alam sekitar benar-benar menghidupkan suasana. Persembahan mereka yang diiringi lagu-lagu hits masing-masing bukan sahaja mencuri perhatian, malah membuatkan pengunjung tidak berganjak dan turut sama menyanyi menjadikan acara kali ini lebih meriah dan dekat di hati masyarakat.
Siri penutup Jelajah Sawit Hijau MPOGCF yang menghimpunkan aktiviti pendidikan, hiburan, pameran dan persembahan menarik khusus untuk seisi keluarga akan berlangsung di Melawati Mall, Kuala Lumpur pada 22 November ini dan bakal dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi), Kementerian Perladangan dan Komoditi, Dato’ Razali bin Mohamad.