PUTRAJAYA, 3 Jun – Lebih 500 pakar dan pemain industri terlibat dalam Forum Biodiversiti 2026 yang berlangsung dua hari bermula hari ini di sini.
Forum Biodiversiti yang dianjurkan secara dwitahunan itu, memberi fokus pemerkasaan kefahaman terhadap pengurusan perladangan mampan serta penyelesaian konflik hidupan liar tanpa menjejaskan kelangsungan ekonomi ladang dan pekebun kecil.
Penganjur yang juga Pengurus Besar, Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia, Hairulazim Mahmud berkata program menjadi platform terbaik untuk saling berkongsi komitmen sebenar industri dalam aspek pemuliharaan alam sekitar dan hidupan liar.
“Matlamat utama forum ini untuk kita berkongsi apa yang sedang kita laksanakan dalam industri sawit berkaitan dengan biodiversiti, pemuliharaan alam sekitar dan hidupan liar.
“Ramai orang di luar sana masih keliru dan tidak tahu usaha konkrit yang telah dilaksanakan oleh pihak industri. Justeru, diharapkan menerusi persidangan dan forum ini, dapat memberi kefahaman yang lebih jelas kepada masyarakat,” katanya.
Majlis perasmian Forum Biodiversiti disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof yang mewakili Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Penganjuran Forum Biodiversiti 2026 turut mendapat kerjasama daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

