Skip to main content

KUALA LUMPUR – Pemuliharaan sumber hutan bagi mengekalkan kelestarian perlu digerakkan secara lebih agresif bagi memastikan ia mampu menangani perubahan iklim dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Pengurus Besar Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF), Zamakhshari Muhamad berkata, MPOGCF telah bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi dan pakar perhutanan sejak beberapa lama bagi merealisasikan matlamat itu.

Menurut beliau, mereka telah melaksanakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok tahun lalu demi menangani perubahan iklim serta meningkatkan kualiti hidup rakyat, bersesuaian dengan tema sambutan, ‘Hutan Untuk Kesejahteraan Masyarakat’.

“Kami sentiasa menyokong inisiatif pemuliharaan alam sekitar serta amalan mampan yang berkaitan industri minyak sawit negara.

“Ia mencerminkan komitmen industri minyak sawit yang serius dalam melaksanakan pemuliharaan hutan,” katanya.

Zamakhshari berkata, usaha berkenaan memfokus kepada pemuliharaan dan pemeliharaan hutan bagi meningkatkan penanaman pokok di seluruh negara.

“MPOGCF telah mencapai kemajuan memberangsangkan di kawasan dikenal pasti sebagai hutan terosot, iaitu di Kawag yang terletak dalam Hutan Simpan Ulu Segama-Malua di Sabah.

“Setakat ini, 29,044 pokok sudah ditanam, melibatkan sebahagian daripada 80,000 benih di kawasan sekitar 200 hektar yang dijangka siap awal April nanti,” katanya.

Beliau berkata, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada Program Penanaman Sejuta Pokok Hutan yang sedang berjalan ketika ini dan menerima perkembangan memberangsangkan.

Dengan anggaran pelaburan sebanyak RM28 juta, Zamakhshari menegaskan program yang melibatkan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah itu turut memberi tumpuan kepada penanaman serta pembiakan spesies hutan dan pokok buah-buahan asli.

“Cara ini mampu memperkayakan biodiversiti hutan di kawasan terpilih yang berfungsi sebagai koridor hidupan liar yang penting dalam jangka masa panjang.

“Daripada pelbagai program yang telah dimulakan, MPOGCF juga pada masa ini memberi tumpuan kepada sebuah lagi program berimpak tinggi, iaitu Penghutanan Semula Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) di Kelantan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, insiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan mampu menukar dan menyambungkan semula hutan-hutan di Semenanjung Malaysia.

“Dengan anggaran RM25 juta dana yang telah diperuntukkan oleh MPOGCF, program ini menjangkakan penanaman 625,000 anak benih dalam lingkungan 1,000 hektar dilaksanakan pada bulan Julai.

“Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif penghutanan semula serta program pemuliharaan yang lain oleh MPOGCF, layari www.mpogcf.org/our-projects,” katanya.

Sumber: Getaran.MY, Newswav