Skip to main content
14 Mac 2023: Orang ramai yang melawat Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah dikejutkan dengan kehadiran Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Shah.
Baginda tuanku disambut dan diiringi anakanda, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Seri Paduka tiba bersama 13 rakan baginda yang pernah menjalani latihan di Royal Military Academy Sandhurst (RMAS) United Kingdom.
Al Sultan Abdullah dan tetamu baginda kelihatan teruja dengan aktiviti-aktiviti yang disediakan seperti memberi gajah makan tebu, pertunjukan gajah yang berjaya ‘mencuit hati’ semua pengunjung dan menyaksikan gajah mandi-manda di sungai.
Orang ramai juga tidak melepaskan peluang untuk bersalam dan bergambar bersama baginda tuanku dan Tengku Mahkota Pahang.
Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dijemput oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia untuk mengadakan pameran sempena lawatan Al Sultan Abdullah dan tetamu istimewa baginda.
Eksekutif Konservasi MPOGCF, Tengku Abdul Hadi Md Fauzi berpeluang menerangkan kepada baginda dan tetamu mengenai peranan MPOGCF yang mewakili industri sawit Malaysia, dalam membantu aktiviti konservasi hidupan liar dan biodiversiti terutama di Pahang, selain berkongsi program-program konservasi yang sedang dijalankan MPOGCF.
MPOGCF adalah Rakan Strategik Projek Konservasi Gajah Asia di Semenanjung Malaysia.