Skip to main content

TANJUNG MALIM – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengukuhkan kerjasama dalam usaha menangani krisis kepupusan Harimau Malaya dan meningkatkan kemampanan industri sawit melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) hari ini.

MoU itu dimeterai antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Yayasan Konservasi Hijau Sawit Malaysia (MPOGCF).

Menerusi MoU itu, MPOC menerusi MPOGCG menyediakan dana RM3 juta untuk memperkukuh konservasi ex-situ harimau Malaya bagi tempoh lima tahun bermula tahun ini hingga 2025.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, dana sebanyak RM3 juta itu menunjukkan komitmen padu dan keprihatinan industri sawit dalam menyelamatkan Harimau Malaya yang diancam kepupusan.

Katanya, usaha itu bukan sahaja meningkatkan reputasi dan imej industri sawit, malah memperlihat KPPK juga mengutamakan aspek kemampanan dalam menguruskan komoditi utama negara.

“Pengurangan populasi Harimau Malaya adalah disebabkan beberapa faktor seperti pengurangan kawasan habitat dan keliaran akibat aktiviti pembukaan hutan dan perubahan guna tanah.

“Selain itu, Harimau Malaya menjadi sasaran utama aktiviti pemburuan dan perdagangan haram disebabkan permintaannya yang tinggi di pasaran gelap.

“KeTSA memandang serius keperluan untuk memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya. Dana yang disediakan MPOC dan MPOGCF akan dimanfaatkan bagi memperkukuh konservasi ex-situ Harimau Malaya melalui penyelidikan, bina upaya serta program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam,” katanya ketika berucap pada majlis memeterai MoU tersebut di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, dekat sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, Shamsul Anuar dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali menyaksikan majlis menandatangani MoU oleh Perhilitan yang diwakili Datuk Abdul Kadir Abu Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, Mohd. Nor Hamzah.

Menurut Shamsul Anuar, enam program utama akan dilaksanakan di bawah MoU tersebut seperti program pembiakan Harimau Malaya, pembiayaan lima ekor anak Harimau Malaya dan pemindahan Harimau Malaya ke Pusat Konservasi Harimau Kebangsaan di Lanchang, Pahang.

Sumber: Utusan Online