Skip to main content

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi hari ini mengadakan lawatan kerja dan menyaksikan Majlis Menandatangani MOU antara Malaysian Palm Oil Council (MPOC) dan Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di National Wildlife Rescue Centre, Sungkai, Perak.

2. Objektif utama program konservasi Harimau Malaya melalui National Tiger Conservation Action Plan adalah untuk meningkatkan populasi harimau di habitat asal. Melalui kerjasama ini populasi Harimau Malaya diharap dapat ditingkatkan secara pembiakkan dalam kurungan atau ‘Captive Breeding’. Baka-baka terbaik dalam simpanan Jabatan PERHILITAN akan dibiakkan dan anak-anak yang bakal terhasil akan dilepaskan semula ke habitat asal mereka selepas proses peliaran.

3. Industri sawit Malaysia melalui MPOC telah diberi peluang bekerjasama dengan Jabatan PERHILITAN untuk memulihara spesies ikonik negara iaitu Harimau Malaya. Spesies unik yang hanya terdapat di Semenanjung Malaysia ini sedang diancam kepupusan yang disebabkan oleh aktiviti pemburuan haram. Sehingga kini, kurang daripada 200 ekor Harimau Malaya direkodkan yang masih hidup di hutan-hutan Semenanjung Malaysia.

4. Melalui kerjasama ini, MPOC melalui MPOGCF akan menaja 7 ekor harimau dan tajaan merangkumi kos makanan, ubat-ubatan serta kos-kos lain berkaitan pembiakkan dan proses peliaran anak-anak harimau yang terhasil. MPOGCF juga akan menaja kos berkaitan kajian dan program kesedaran awam berkaitan dengan usaha konservasi Harimau Malaya ini. Anggaran keseluruhan tajaan adalah bernilai
RM 3 juta bagi program yang bakal berjalan sepanjang 5 tahun.

5. MPOGCF yang mula beroperasi pada 1 April 2021 ditubuhkan bagi meneruskan usaha Malaysian Palm Oil Wildlife Conservation Fund (MPOWCF) seliaan MPOC dalam mengalakkan dan menyokong inisiatif pemuliharaan dan perlestarian industri sawit Malaysia. Pada masa yang sama, MPOGCF juga berperanan dalam usaha penghutanan semula hutan-hutan yang telah rosak dan juga usaha konservasi
berkaitan industri sawit. Selain itu, yayasan ini berperanan dalam menyediakan bantuan pembiayaan bagi kajian hidupan liar dan konservasi. Sebagai tambahan, yayasan ini juga menyediakan dana bagi tujuan konservasi dan aktiviti promosi serta program-program kesedaran.

6. Kementerian melalui MPOGCF akan sentiasa memberi komitmen yang tinggi dalam memastikan industri sawit Malaysia agar terus kekal lestari dan bebas dari ancaman luar. Pihak industri dan rakyat Malaysia diseru supaya terus menyokong industri sawit negara agar sentiasa kekal relevan di peringkat global.

YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
12 April 2021

Muat Turun Kenyataan Akbar
Bahasa Melayu  |  English