Skip to main content

‘Living Together With Elephants’ usaha TDM Plantation mengelak Konflik Manusia-Gajah.

TDM Berhad melalui anak syarikat perladangannya, TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) Negeri Terengganu dan Tabung Pengurusan Gajah Liar Negeri Terengganu menjalankan usaha-usaha bagi mengelak berlaku konflik manusia-gajah.

Program Living Together With Elephants dijalankan di ladang kelapa sawit TDMP di Kemaman dan Setiu di Terengganu dengan tujuan mewujudkan suasana hidup harmoni di antara manusia dan gajah yang merupakan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.
Menerusi program itu, TDMP dengan kerjasama Jabatan PERHILITAN Negeri Terengganu telah berjaya memasang kolar satelit pada seekor ketua kawanan gajah di salah sebuah ladang kelapa sawit milik syarikat di Setiu iaitu Ladang Pelung.

Pemasangan kolar satelit ini memudahkan pemantauan pergerakan kawanan gajah tersebut dan mengelakkan daripada berlakunya konflik manusia-gajah yang boleh mengancam keselamatan manusia dan gajah.

Selain itu, TDMP dan Jabatan PERHILITAN Negeri Terengganu juga sedang mengenal pasti beberapa lokasi tertentu dalam kawasan ladang sawit syarikat untuk dijadikan ‘food bank’ dengan tanaman spesies pokok yang sesuai untuk makanan gajah.
Usaha ini bagi memastikan gajah-gajah ini kekal berada dalam kawasan tertentu ladang kelapa sawit dan tidak berkeliaran hingga ke kawasan operasi mahupun penempatan manusia yang boleh mencetuskan gangguan.

Living Together With Elephants ini adalah antara contoh program-program yang dijalankan oleh syarikat-syarikat perladangan kelapa sawit utama di negara ini dan ia adalah bukti komitmen jitu industri sawit Malaysia kepada usaha-usaha pemuliharaan alam sekitar.
Sokongan padu syarikat-syarikat perladangan ini membuktikan industri sawit negara ini berada lebih jauh ke hadapan berbanding negara lain.

Ia juga menunjukkan kepada dunia bahawa industri sawit Malaysia lebih jauh ke hadapan sebagai industri mampan iaitu industri yang memenuhi keperluan pada masa kini (ekonomi dan sosial) tanpa menjejaskan keperluan generasi akan datang (alam sekitar).

MPOGCF menyalurkan dana kepada TDM Plantation sebagai tanda sokongan kepada Living Together With Elephants serta satu lagi program pemuliharaan iaitu River Of Life.

*MPOGCF akan mempromosikan projek dan inisiatif pemuliharaan hijau oleh syarikat-syarikat perladangan selaku pemain utama industri sawit negara dari semasa ke semasa.