Skip to main content
Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) atau Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia dan Universiti Sains Malaysia (USM) akan bekerjasama untuk memperluaskan penggunaan burung pungguk jelapang atau burung hantu sebagai kaedah kawalan biologi dalam kalangan pekebun-pekebun kecil kelapa sawit.
Di bawah Inisiatif Burung Pungguk Jelapang untuk Pekebun-pekebun Kecil atau BOSI, MPOGCF akan membiayai kos pembinaan sarang burung hantu di beberapa kebun sawit yang diusahakan pekebun-pekebun kecil.
Bagi merealisasikan BOSI, satu perjumpaan dan perbincangan lanjut antara MPOGCF dan Dr Hasber Salim serta Prof Kehormat Abu Hassan Ahmad daripada Bawl Owl Research Group (BORG) diadakan di Kampus Induk USM di Pulau Pinang, pada Khamis, 19 Januari 2023.
MPOGCF diketuai Pengurus Konservasi, Encik Ahmad Shahdan bin Kassim dan turut disertai Eksekutif Konservasi, Encik Muhd Syafiq bin Mat Nazari.
Kaedah kawalan biologi menggunakan burung pungguk jelapang atau burung hantu untuk mengawal populasi tikus telah dipratik secara meluas di ladang-ladang sawit milik syarikat-syarikat perladangan besar, namun amalan pertanian baik (GAP) ini tidak diperluaskan kepada pekebun-pekebun kecil.
Justeru, kerjasama MPOGCF dan BORG diharap dapat membantu pekebun-pekebun kecil mengguna kaedah ini kerana lebih selamat kepada manusia serta alam sekitar dan sekaligus dapat mengurangkan penggunaan racun tikus.