Skip to main content
Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) dilantik sebagai Rakan Strategik Konservasi Gajah oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia.
Surat pelantikan itu diserahkan oleh Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim kepada Pengurus Komunikasi Korporat MPOGCF, Tuan Nazuri Tuan Ismail pada Majlis Perasmian bengkel Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan 2023-2032 (NECAP 2.0) di Port Dickson pada 29 September 2022.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YBrs. Abdul Wahid Abu Salim, Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).
Selaku rakan strategik, MPOGCF akan bekerjasama dengan PERHILITAN untuk program-program konservasi termasuk mengadakan bengkel NECAP 2.0 secara bergerak di beberapa lokasi terpilih.
Dalam perkembangan berkaitan, jumlah aduan melibatkan pertembungan kepentingan antara manusia dan gajah atau Konflik Manusia-Gajah (HEC) dilaporkan meningkat kepada 835 kes sepanjang 2021 berbanding 546 kes pada 2020.
Statistik menunjukkan sebanyak 3,325 aduan HEC telah diterima dalam tempoh tujuh tahun iaitu 2015 hingga 2021.
Dalam tempoh itu, Kelantan merekodkan aduan tertinggi 1,244 aduan atau 38%, diikuti Johor 658 atau 20%, Pahang 542 atau 16%, Terengganu 397 atau 12% dan Perak 363 atau 11%.