Skip to main content

Kuala Lumpur 21 Mac – Sambutan Hari Hutan Antarabangsa menjadi lebin bermakna buat Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) tahun ini dengan usaha-usaha memperkasakan pemuliharaan hijaunya.

Ia adalah selaras dengan agenda nasional melalui Program Penghijauan Malaysia, dengan pelaksanaan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok pada tahun 2021 yang dilancarkan untuk menangani perubahan iklim serta meningkatkan kualiti hidup rakyat, bersesuaian dengan tema sambutan, “Hutan Untuk Kesejahteraan Masyarakat.

Sebagai sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), MPOGCF memulakan, bekerjasama dan menyokong inisiatif pemuliharaan alam sekitar serta amalan mampan yang berkaitan dengan dan dalam industri minyak sawit Malaysia, untuk mencerminkan komitmen industri dalam pemuliharaan hijau dan seterusnya menggalakkan kelestarian sumber hutan negara.

Pengurus Besar MPOGCF, Zamakhshari Muhamad berkata, untuk mencapai objektif bagi setiap usaha penghutanan semula yang MPOGCF laksanakan, pihaknya telah bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi dan pakar dalam perhutanan sejak beberapa tahun yang lalu.

Menurut beliau, matlamatnya adalah untuk meningkatkan usaha ini sambil membantu memberi tumpuan kepada pemeliharaan dan pemuliharaan hutan negara ini, dan meningkatkan penanaman pokok di seluruh negara.

“Kami telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan di kawasan hutan yang dikenal pasti sebagai kawasan hutan terosot di Kawag, Hutan Simpan Ulu Segama- Malua di Sabah dengan 29,044 pokok ditanam setakat ini.

”Ia adalah sebahagian daripada penanaman 80,000 anak benih dalam lingkungan 200 hektar yang dijangka siap pada awal bulan April, yang juga sebahagian daripada Program Penanaman 1 Juta Pokok Hutan iaitu program kami yang sedang berjalan dan berimpak tinggi setakat ini,” ujar Zamakhshari.

Dengan anggaran pelaburan sebanyak RM28 juta, Program Penanaman 1 Juta Pokok Hutan merupakan projek berdurasi 10 tahun dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah.