Skip to main content
Dari koridor gajah, habitat orang utan hinggalah ke pemuliharaan beruang matahari, MPOGCF Media FAM Trip 2026 membawa rakan-rakan media menyaksikan sendiri pelbagai inisiatif pemuliharaan biodiversiti yang disokong oleh MPOGCF bersama rakan-rakan strategik. Program selama empat hari ini merentasi Tawau, Lahad Datu dan Sandakan, Sabah bagi memberi pendedahan secara langsung kepada usaha pemuliharaan yang dilaksanakan di lapangan.
Seramai 20 pengamal media daripada pelbagai agensi termasuk pempengaruh media sosial telah berpeluang melawat beberapa projek utama yang dibiayai oleh MPOGCF, antaranya:
Projek Koridor Gajah Borneo melalui Penanaman Rumput Napier di Sabah Softwoods Berhad (SSB), yang dilaksanakan melalui kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sabah Softwoods Berhad (SSB) bagi mewujudkan koridor hidupan liar yang lebih selamat serta mengurangkan konflik manusia-gajah.
Projek Pemulihan Habitat Orang Utan di Hutan Simpan Ulu Segama–Malua, yang dilaksanakan bersama Jabatan Perhutanan Sabah bagi memulihkan habitat hutan yang terdegradasi melalui penanaman spesies pokok tempatan.
Komuniti Nurseri Kampung Tempenau, yang memperlihatkan penglibatan aktif komuniti setempat dalam penyediaan anak pokok untuk aktiviti pemulihan hutan, sekali gus menyokong usaha pemuliharaan sambil mewujudkan peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
Program Pemuliharaan Beruang Matahari di Bornean Sun Bear Conservation Centre (BSBCC), yang dilaksanakan bersama Bornean Sun Bear Conservation Centre (BSBCC) bagi menyokong usaha rehabilitasi, penyelidikan dan pemuliharaan beruang matahari serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap spesies ikonik yang terancam ini.
Para peserta turut dibawa melawat Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok bagi melihat sendiri usaha pemuliharaan dan rehabilitasi orangutan yang dilaksanakan di Sabah.
Program ini bertujuan memperkukuh pemahaman media mengenai usaha pemuliharaan dalam landskap kelapa sawit serta mengetengahkan kepentingan kerjasama antara kerajaan, industri, institusi penyelidikan, NGO dan komuniti dalam memastikan keseimbangan antara pembangunan dan pemuliharaan biodiversiti.
MPOGCF merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan strategik serta rakan media yang telah bersama-sama menjayakan Media FAM Trip 2026. Diharapkan pengalaman di lapangan ini dapat membantu mempromosikan usaha-usaha pemuliharaan kepada masyarakat, sekali gus meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan melindungi biodiversiti negara.