Skip to main content
MPOGCF sertai Kongres Perhutanan Sedunia di Korea Selatan
➡️ Kongres Perhutanan Sedunia Kali ke-15 telah berlangsung di Starfield COEX Convention and Exhibition Centre, Gangnam, Seoul, Korea Selatan pada 2 hingga 6 Mei baru-baru ini.
Presiden Korea Selatan, Moon Jae-In telah merasmikan kongres itu yang bertemakan Building a Green, Healthy and Resilient Future with Forests.
Malaysia turut menyertai kongres itu dengan menghantar wakil daripada agensi-agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi iaitu Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF), Malaysian Palm Oil Certification Council (MPOCC), Malaysia Timber Council (MTC) dan Malaysian Timber Certification Council (MTCC).
MPOGCF telah diwakili oleh Eksekutif Pemuliharaan, Muhamad Syafiq Nazari.
Turut serta ialah agensi di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) iaitu Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Institut Penyelidikan Hutan Malaysia Forest (FRIM) selain Jabatan Perhutanan Sabah.
Potongan ses sawit biaya pemuliharaan hijau
➡️ Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YBhg. Datuk Ravi Muthayah turut berpeluang menyampaikan ucapan bertajuk “Enabling and Scalling Up Finance to Halt Deforestation” pada hari pertama kongres.
Memetik ucapan itu, Datuk Ravi Muthayah memaklumkan dana sebanyak RM20 juta setahun secara keseluruhan bagi membiayai usaha dan inisiatif perhutanan semula dan aktiviti pemuliharaan hidupan liar.
Katanya, dana itu adalah hasil potongan ses minyak sawit yang dikenakan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang kemudiannya disalurkan melalui MPOGCF.
“MPOGCF menggunakan dana itu untuk menyokong inisiatif atau projek pemuliharaan hijau yang dilaksanakan oleh jabatan atau agensi kerajaan seperti Jabatan Perhutanan dan badan-badan bukan kerajaan,” kata beliau.
Kongres Perhutanan Sedunia adalah perhimpunan terbesar sektor perhutanan dan diadakan setiap enam tahun sekali
di bawah naungan Organisasi Makanan dan Pertanian (FOA), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).