Skip to main content
Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia atau Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) menaja pokok termasuk pokok kelapa sawit untuk Kempen Pemuliharaan Hijau Sekolah-sekolah Daerah Kerian, Perak.
Sebanyak 1,000 pokok paya kelat dan 100 pokok sawit ditaja dan diagihkan kepada 91 sekolah seluruh daerah Kerian yang terlibat.
Setiap sekolah menerima 10 pokok paya kelat san satu pokok sawit.
Pokok sawit sebagai simbolik kepada industri sawit yang menyumbang dana untuk kempen ini di samping bertujuan meningkatkan kesedaran kepada warga sekolah sumbangan besar tanaman komoditi ini kepada negara.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, Datuk Abdul Rashid bin Idris melancarkan Kempen Pemuliharaan Hijau Sekolah-sekolah peringkat Pejabat Pendidikan Daerah Kerian di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Parit Buntar, pada Sabtu, 14 Januari 2023.
Hadir sama, Pengurus Besar MPOGCF, Zamakshari Muhamad dan Pengurus Konservasi, Ahmad Shahdan Kassim.
Abdul Rashid dalam ucapan perasmian berkata, Kempen Pemuliharaan Hijau Sekolah- sekolah ini selari peranan MPOGCF iaitu menyokong dan memperkukuh usaha-usaha pemuliharaan alam sekitar.
Kempen Pemuliharaan Hijau Sekolah-sekolah bertujuan mewujudkan persekitaran sekolah yang sihat, manakala pemuliharaan hijau oleh MPOGCF untuk meningkatkan imej sawit Malaysia sebagai produk mampan.
Beliau berharap penajaan kempen oleh MPOGCF ini dapat diteruskan ke sekolah-sekolah di negeri lain.