Skip to main content

MPOGCF menyambut baik seruan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Hajah Zuraida Kamaruddin yang meminta semua agensi di bawah kementerian itu yang terlibat dengan industri kelapa sawit mempergiatkan lagi usaha-usaha bagi menangkis kempen anti minyak sawit Malaysia.

Saranan YB Menteri itu adalah tepat pada masanya kerana pendekatan ‘defensive’ tidak lagi sesuai bagi melindungi industri sawit yang berdepan persaingan tidak sihat di peringkat global dengan tuduhan-tuduhan tidak adil dan melulu.

MPOGCF selaku agensi yang menyokong program dan inisitiaf pemuliharaan alam sekitar yang berkait secara langsung dengan industri sawit, komited untuk sentiasa bersama-bersama pihak kementerian menggunakan pendekatan menyerang dalam menangkis persepsi negatif khususnya melibatkan alam sekitar.

Justeru, MPOGCF akan melipatgandakan kerjasama erat dengan syarikat-syarikat perladangan selaku pemain utama industri, agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN), Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, kerajaan-kerajaan negeri, jabatan perhutanan negeri-negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar dalam dan luar negara serta syarikat-syarikat korporat yang terlibat secara aktif dalam inisiatif pemuliharaan biodiversiti negara.

MPOGCF juga akan memanfaatkan peranan penting media tradisional dan media baharu bagi menyampaikan maklumat yang tepat sekaligus membuktikan industri sawit Malaysia adalah bertanggungjawab dan mampan alam sekitar.

Usaha-usaha bagi melindungi industri sawit Malaysia akan lebih berkesan dengan penglibatan semua pihak kerana industri ini telah terbukti memberi sumbangan besar kepada sosial ekonomi negara ini.

 

Zamakhshari Muhamad

Pengurus Besar

Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF)

 

Untuk sebarang pertanyaan mengenai MPOGCF, sila hubungi Ketua Komunikasi Korporat MPOGCF,  Tuan Nazuri bin Tuan Ismail di talian 012-3479144.

 

Muat Turun Kenyataan Akhbar

Bahasa Melayu