Skip to main content

SHAH ALAM – Seorang pekerja ladang yang dilaporkan cedera di bahagian kaki akibat dipijak seekor gajah liar pada Selasa telah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh, Pahang pada pagi Jumaat.

Melalui kenyataan dibuat Pengurus Besar Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF), Zamakhshari Muhammad, pihaknya dimaklumkan mengenai perkara itu dan mengambil inisiatif menghulurkan bantuan sebanyak RM5,000 bagi meringankan beban ahli keluarga mendiang.

“MPOGCF amat bersimpati dan ingin menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga pekerja ladang kelapa sawit yang dimaklumkan telah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh, Pahang pagi ini.

“Mendiang dilaporkan dipijak gajah liar semasa sedang bertugas di Ladang Semantan, Mentakab dan mengalami kecederaan serius pada bahagian badan serta patah pergelangan kaki kiri pada Selasa, 5 Julai 2022,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Pada Rabu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff memberitahu, kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi yang melibatkan mangsa iaitu seorang lelaki lingkungan 50-an.

Mengulas lanjut, Zamakhshari berkata, siasatan awal Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang mendapati ladang kelapa sawit yang merupakan tempat mendiang bertugas terletak bersempadan dengan Hutan Simpan Kemasul.

Jelasnya, menurut rekod pihak Perhilitan, terdapat beberapa kumpulan gajah liar yang telah dikenal pasti berada di hutan simpan berkenaan.
Dalam masa sama, beliau menasihati pekerja-pekerja di ladang sawit supaya lebih berhati-hati dan tidak mengambil tindakan secara bersendirian jika bertembung atau berhadapan dengan gajah liar berkeliaran di kawasan ladang dan kebun sawit.

Sumber: Sinar Harian