Skip to main content
Program Barn Owl for Smallholders Initiative 2.0 (BOSI 2.0) kini diteruskan di Kampung Separap, Batu Pahat, Johor, sebagai kesinambungan komitmen Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) dalam memperluaskan penggunaan burung pungguk jelapang sebagai agen kawalan biologi tikus yang mampan kepada komuniti pekebun kecil kelapa sawit.
Majlis Pelancaran BOSI 2.0 Kampung Separap telah disempurnakan oleh Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud, sebagai simbol komitmen MPOGCF dalam menyokong amalan perladangan mampan, mengurangkan kebergantungan kepada racun tikus serta memperkasakan pekebun kecil melalui pendekatan kawalan biologi.
Majlis pelancaran ini turut dihadiri oleh Penyelaras Barn Owl & Rodent Research Group (BORG), Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Hasber Salim dan Ketua Kampung Separap, Mohd Zainuddin Abd Samad.
Terdahulu, dalam majlis berasingan, Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad meluangkan masa mengadakan lawatan lapangan ke lokasi pemasangan sarang burung pungguk jelapang. Lawatan tersebut bertujuan memberi gambaran secara langsung mengenai pelaksanaan pendekatan kawalan biologi tikus melalui penyediaan habitat sokongan di kawasan tanaman sawit.
Semasa lawatan lapangan tersebut, YB Menteri telah diberi taklimat ringkas oleh wakil Quantum Agri Sdn. Bhd., Muhamad Hanif Alias selaku penyelaras pelaksanaan lapangan BOSI 2.0 di Kampung Separap, berhubung pemasangan kotak sarang, peranan burung pungguk jelapang sebagai pemangsa semula jadi tikus serta kepentingan pemantauan bagi memastikan keberkesanan program.
Melalui pelaksanaan BOSI 2.0 di Kampung Separap di Batu Pahat, seramai 15 orang peserta terpilih menerima sijil pengiktirafan terhadap penglibatan mereka dalam program ini. Mereka turut diberi pendedahan berkaitan peranan burung pungguk jelapang, pemasangan kotak sarang serta kepentingan pemantauan bagi menyokong kawalan tikus secara semula jadi.
BOSI 2.0 dilaksanakan secara berperingkat di beberapa lokasi utama, termasuk Jerantut, Pahang; Batu Pahat,Johor; Kemaman, Terengganu dan Serdang, Kedah bagi memperluaskan manfaat program kepada komuniti pekebun kecil di seluruh negara. Inisiatif ini diharap dapat menjadi model rujukan kawalan biologi tikus yang lebih mesra alam, sekali gus menyokong agenda kelestarian dan pemuliharaan biodiversiti dalam industri sawit Malaysia.