Skip to main content

Putrajaya: Pendapatan eksport agrikomoditi negara dianggarkan berjumlah RM189.8 bilion, meningkat sebanyak 41.6 peratus setakat November tahun lalu berbanding tempoh yang sama pada 2020.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perubahan itu banyak didorong dengan peningkatan import di negara pasaran utama selain nilai komoditi yang tinggi khususnya membabitkan produk berasaskan sawit.

“Contohnya, jumlah eksport produk berkaitan sawit ke India mencatatkan peningkatan yang membanggakan dengan eksport melebihi sekali ganda iaitu daripada RM8.5 bilion pada 2020 kepada RM17.8 bilion pada 2021.

“Jumlah eksport kayu dan produk berasaskan kayu ke India juga meningkat, daripada RM781 juta ringgit kepada RM839 juta ringgit bagi tempoh yang sama, iaitu peningkatan sebanyak 7.5 peratus.

“Malaysia juga muncul sebagai negara pengeluar terbesar dunia bagi sarung tangan getah apabila menguasai 65 peratus pasaran produk berkenaan,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau turut mengakui, sektor agrikomoditi bukanlah sesuatu yang asing baginya kerana beliau adalah anak kepada seorang penoreh getah.

“Pada ketika itu, harga sekati getah hanyalah beberapa sen berbanding sekarang, namun hasil itulah yang menyara kehidupan saya dan kebanyakan daripada kita sehingga berjaya,” katanya.

Menurutnya, difahamkan pada 2020, sektor agrikomoditi menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang dianggarkan sebanyak RM85 bilion yang mana sumbangan KDNK Huluan Agrikomoditi adalah sebanyak RM46 bilion, manakala Hiliran dengan RM38 bilion.

“Meskipun pandemik Covid-19 melanda negara, nilai eksport produk agrikomoditi pada 2020 terus kukuh pada RM151.3 bilion dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 17.8 peratus berbanding RM128.5 bilion pada 2019.

“Pada 2021 pula, jumlah eksport agrikomoditi terus mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan walaupun negara masih berada dalam pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, sejak berdekad lalu, sektor agrikomoditi menyediakan peluang pekerjaan kepada ramai rakyat Malaysia.

“Lebih penting, hasil daripada pekerjaan di sektor ini berjaya mengurangkan keluarga yang dibelenggu kemiskinan dan kadar kemiskinan dalam kalangan peladang dan pekebun kecil sektor agrikomoditi menurun dengan signifikan.

“Kadar kemiskinan nasional pada 1970 adalah pada tahap 49.3 peratus dan menurun kepada 5.6 peratus pada 2019, saya percaya penurunan ini sebahagiannya adalah sumbangan daripada sektor ini,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pada masa sama, ia adalah hasil usaha berterusan kerajaan bagi memastikan seluruh Keluarga Malaysia dapat menjalani kehidupan yang selesa.

“Dalam usaha membangunkan ekonomi, Malaysia tidak dapat lari daripada menghadapi pelbagai cabaran terutama sekatan yang dilakukan oleh pihak tertentu khususnya media barat ke atas hasil keluaran agrikomoditi negara seperti minyak sawit dan getah, yang dikaitkan dengan buruh paksa.

“Namun, demi semangat Keluarga Malaysia, warga KPPK dan agensi dengan dokongan para pemain industri perlu berdiri teguh untuk mempertahankan produk negara supaya terus diterima di seluruh dunia dan diangkat kedudukannya,”

katanya.

Menurutnya, kerajaan akan memastikan sektor agrikomoditi terus kukuh dan di bawah Bajet 2022 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ juga kerajaan memperuntukkan sekitar RM670 juta kepada KPPK bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

“Malah, kerajaan menerusi KPPK akan melancarkan Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 bagi menggantikan Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011-2020 dalam usaha memacu pembangunan sektor itu secara lebih mampan, berdaya saing dan berorientasikan pasaran.

“Dasar yang akan memayungi pembangunan agrikomoditi negara adalah penting supaya sektor ini terus berdaya saing dan kekal terpelihara sepanjang zaman, ini selaras dengan norma baharu dan peningkatan penggunaan digital pasca Covid-19,” katanya.

“DAKN 2021-2030 akan digunakan sebagai rujukan kepada industri komoditi negara dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta ke arah mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030.

“Selain itu, ia akan melahirkan pekebun kecil ‘pintar’ yang mengamalkan pertanian moden menerusi penggunaan teknologi, dasar ini bakal meningkatkan daya saing usahawan Bumiputera dalam sektor industri hiliran agrikomiditi,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sektor ini yang amat penting kepada pembangunan negara.

“Saya sentiasa menaruh harapan tinggi supaya sektor agrikomoditi yang juga sumber pendapatan bagi hampir satu juta pekebun kecil dapat membantu negara menjana semula ekonomi dan mengembalikan kestabilan ekonomi rakyat.

“Saya amat berharap jentera kerajaan dapat membantu memperbaiki taraf hidup dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil untuk kesejahteraan dan kemakmuran Keluarga Malaysia.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terbabit dalam sektor ini melalui Jelajah Agrikomoditi nanti, terutama pekebun kecil di kampung yang sentiasa setia memberi pengorbanan kepada tanaman agrikomoditi,” katanya.

 

Sumber: Harian Metro