Skip to main content
PUTRAJAYA, 3 Jun 2026- Lebih 400 peserta menyertai Forum Biodiversiti anjuran Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) di Putrajaya, hari ini.
Forum dwitahunan ini dianjurkan dengan kerjasama Majlis Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sebagai penganjur bersama dengan mengetengahkan tema Coexistence in Malaysian Oil Palm Plantation Landscapes.
Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, YBhg. Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof merasmikan forum bagi mewakili Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Forum dua hari ini menghimpunkan pakar pemuliharaan, pemain industri sawit, penyelidik, penggubal dasar, pelajar serta pengamal kelestarian bagi memperkukuh kerjasama dalam pemuliharaan biodiversiti dalam landskap kelapa sawit Malaysia.
Forum Biodiversiti 2026 memfokuskan kepada usaha memperkasakan kefahaman serta pelaksanaan pendekatan coexistence dalam menangani konflik manusia dan hidupan liar di samping menyokong pengurusan perladangan yang mampan.
Seramai 20 penceramah terlibat dalam perbincangan melibatkan empat topik utama iaitu Human–Wildlife Coexistence, Challenges and Limitations in Implementing Coexistence, Connecting Landscapes and Sustaining Wildlife dan Managing Biodiversity Sustainably within Oil Palm Landscapes.
Dalam majlis yang sama, Dato’ Yusran turut merasmikan buku Guideline for Biodiversity Friendly Oil Palm Plantation yang diterbitkan dengan kerjasama MPOGCF, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia.
Beliau turut menyaksikan pertukaran Perjanjian Persefahaman (MoU) antara MPOGCF, Yayasan Pahang dan UPM untuk projek The Living Lab Project: Sustainable Conservation of Asian Elephants in YP Hevea di Kuala Sat, Pahang.
Turut hadir pada majlis perasmian ialah Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha; Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir; Timbalan Ketua Pengarah (Konservasi) Perhilitan, Datuk Fakrul Hatta Musa; Dekan Fakulti Perubatan Verinar UPM, Prof. Dr. Goh Yong Meng; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Indera Mahmud Mohd Nawawi dan Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud.