Skip to main content
Laporan oleh Ahmad ‘Aizat Azuri, Eksekutif Pemuliharaan dan Kemampanan
Malaysia Palm Oil Green Conservation Foundation telah melancarkan Program Inisiatif Burung Pungguk Jelapang Kepada Pekebun Kecil Kelapa Sawit (Barn Owl for Smallholder Initiative), BOSI 2.0 bagi negeri Pahang di Kampung Labu, Jerantut dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia menerusi Kumpulan Penyelidikan Burung Pungguk dan Tikus (Barn Owl and Rodent Research Group – BORG) serta JPKK Kampung Labu.
Majlis pelancaran telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Daerah Jerantut, Datuk Rozilan Salleh yang turut menyatakan keterujaan beliau terhadap pelaksanaan program berkenaan, selain menyifatkan inisiatif seumpama ini sebagai yang pertama dilaksanakan di Kampung Labu, Jerantut.
Turut hadir ialah Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud dan Penasihat BORG, Prof. Dr. Abu Hassan Ahmad.
Dalam ucapannya, Hairulazim Mahmud merakamkan penghargaan kepada pekebun-pekebun kecil yang terlibat serta komitmen berterusan ahli-ahli BORG dalam menjayakan inisiatif konservasi dan pertanian mampan ini.
Sementara itu, Prof. Dr. Abu Hassan Ahmad turut berkongsi mengenai peranan burung pungguk jelapang sebagai agen kawalan biologi yang efektif dalam membantu mengurangkan populasi tikus perosak di ladang kelapa sawit.
Sebanyak 17 kotak sarang telah dipasang melibatkan kawasan ladang milik 16 pekebun kecil di Kampung Labu. Inisiatif ini turut melibatkan pemantauan berkala oleh penyelidik BORG bagi memastikan keberkesanan penggunaan burung pungguk jelapang dalam menyokong amalan perladangan sawit yang lebih mampan dan mesra biodiversiti