PUTRAJAYA: Kajian terbaharu oleh penyelidik dan pihak industri Sawit Kinabalu mendapati terdapat keperluan untuk menyediakan koridor pergerakan yang menghubungkan kawasan hutan yang terpisah bagi memelihara spesies orang utan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, langkah itu penting bagi memastikan spesies ikonik berkenaan tidak terputus laluan atau keliru ketika berada di kawasan ladang.
“Kajian oleh penyelidik bersama syarikat perladangan seperti Sawit Kinabalu mendapati orang utan betina lebih cenderung untuk menetap di satu-satu kawasan, manakala orang utan jantan akan mula bergerak jauh mencari pasangan sebaik sahaja mencapai usia matang.
“Apabila orang utan jantan ini mula berhijrah, mereka memerlukan pokok-pokok sebagai jambatan untuk bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain. Jika kawasan perladangan itu terlalu lapang tanpa koridor hijau, ia akan mengganggu peta perjalanan semulajadi mereka.
“Inilah fokus kita sekarang, iaitu memastikan pengurusan landskap industri perladangan selari dengan keperluan biologi orang utan bagi mengelakkan konflik dan memastikan kelangsungan hidup mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis Sambutan Hari Orang Utan Sedunia 2026 yang bertemakan ‘The Other Malaysians’ di Taman Botani, di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata industri sawit yang merupakan salah satu tonggak utama ekonomi negara perlu memastikan usaha pemuliharaan habitat orang utan berjalan seiring dengan tanggungjawab melindungi alam sekitar dan biodiversiti.
Noraini berkata syarikat perladangan yang beroperasi di dalam atau berhampiran habitat orang utan mempunyai tanggungjawab besar untuk turut sama terlibat dalam usaha melindungi spesies ikonik tersebut.
“Walaupun terdapat orang utan yang hidup di luar kawasan perlindungan rasmi, kewujudan mereka dalam pecahan hutan dan kawasan Nilai Konservasi Tinggi di dalam landskap perladangan sawit tidak boleh diabaikan.
“Ladang sawit tidak boleh menggantikan hutan semula jadi, namun hutan dan koridor hidupan liar yang saling bersambung di dalam kawasan perladangan tetap penting untuk kelangsungan spesies ini.
“Kita mahu kegiatan ekonomi terus diperkasakan, manakala orang utan dan habitatnya diberikan perlindungan yang sewajarnya melalui kerjasama erat antara kerajaan, pihak industri, dan organisasi pemuliharaan,” katanya.
Menurutnya, bagi mengukuhkan komitmen dalam pemuliharaan orang utan, RM200,000 telah disalurkan menerusi Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) kepada Program Diplomasi Orang Utan atau OUDip.
“Program ini sedang dilaksanakan di Sungai Pin Conservation Area atau SPnCA dalam kawasan perladangan Sawit Kinabalu Group di Kinabatangan, Sabah.
“Ia termasuk juga menyediakan jambatan orang utan bagi menghubungkan habitat yang terpisah serta sebuah bot rondaan untuk membantu renjer menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan,” ujarnya.

