Skip to main content
Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) menganjurkan Kursus Latihan Biodiversiti dan HCV kepada Pekebun Kecil Kelapa Sawit Siri ke-4 Negeri Sembilan pada 22 dan 23 November 2022.
Kursus anjuran bersama Sime Darby Plantation (SDP) dan Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) itu dihadiri 45 peserta.
Ia bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai Biodiversiti dan HCV dalam ladang kelapa sawit. Ini kerana, pengurusan Biodiversiti dan HCV yang baik di dalam ladang kelapa sawit merupakan elemen penting dalam mematuhi dan mengekalkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Puan Aida Abd Ghani dari SDP menerangkan tentang dasar dan undang-undang yang berkaitan hidupan liar di Malaysia serta kesalahan yang sering dilakukan oleh pekebun kecil.
Antaranya ialah memelihara ayam hutan dan spesis burung yang dilindungi oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia seperti Murai Batu yang biasanya ditemui dalam kebun sawit.
Puan Azlina Zakaria daripada SDP Research pula menerangkan pengurusan bersepadu bagi serangga dan haiwan perosak kelapa sawit iaitu ulat bungkus, ulat api, kumbang badak, tikus dan babi hutan.
Beliau telah berkongsi cara kawalan biologi yang telah diamalkan oleh SDP bagi mengurangkan penggunaan bahan kimia dan racun serangga.
Antaranya, membiak spesis serangga seperti Sycanus dichotomus yang merupakan pemangsa kepada ulat bungkus dan ulat api, penggunaan kulat Metarhizium bagi membunuh larva kumbang badak,dan barn owl (burung hantu) bagi mengawal populasi tikus di ladang.
Para peserta sangat berminat dengan kaedah kawalan biologi yang dikongsikan oleh Puan Azlina kerana cara ini ternyata lebih selamat dan mengurangkan kos bagi kawalan haiwan perosak.
Aktiviti lain sepanjang kursus ialah perbincangan dalam kumpulan tentang kajian kes dan jalan penyelesaiannya, latihan untuk mengisi borang inventori biodiversiti, kuiz serta pembentangan kumpulan.
Di akhir program, peserta diberikan sijil penyertaan yang membolehkan para peserta menyelesaikan indicator-indikator bagi keperluan pensijilan MSPO aitu menghadiri latihan yang berkaitan biodiversiti dan HCV.