Skip to main content

MPOGCF dan SFC bekerjasama kurangkan Konflik Manusia-Boyak (buaya)

Di Malaysia, Konflik Manusia-Gajah adalah yang paling kerap dihadapi kecuali di Sarawak yang mana Konflik Manusia-Buaya banyak berlaku kerana populasi buaya yang semakin bertambah.

Konflik Manusia-Buaya di Sarawak turut berlaku di kawasan ladang kelapa sawit yang terletak berdekatan habitat haiwan reptilia iu dan boleh mengancam pekerja-pekerja ladang sekali gus menganggu operasi ladang sawit.

Terdapat dua spesies buaya di Sarawak iaitu buaya katak dan buaya jenjulong yang merupakan hidupan liar terlindung di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan disenaraikan di bawah Apendiks II CITES untuk Malaysia pada peringkat antarabangsa.

Walaupun hidupan liar ni boleh ditangkap atau diburu untuk tujuan perdagangan di peringkat domestik atau peringkat antarabangsa, tetapi wajib mendapat lesen daripada Kontroler Hidupan Liar Sarawak dan Permit CITES.

Malaysian Palm Oil Green Conservation (MPOGCF) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) bakal bekerjasama dalam projek khas bagi mewujudkan suasana kehidupan harmoni antara manusia dan buaya.

Projek dengan pembiayaan hampir RM1.5 juta ini melibatkan kawasan lembangan yang merangkumi 10 sungai utama di Sarawak iaitu Kayan, Samarahan, Sadong, Lupar, Rajang, Saribas, Krian, Suai, Baram dan Lawa.

Projek bertujuan mewujudkan kehidupan harmoni manusia – buaya ini antaranya melibatkan kajian-kajian populasi buaya oleh pakar-pakar dari SFC, meningkatkan kesedaran orang ramai untuk tidak menganggu habitat buaya atau mendedahkan risiko bahaya melalui kempen-kempen kesedaran termasuk kepada pekerja di ladang sawit di samping memindahkan spesies reptilia itu ke kawasan lain jika didapati tidak lagi sesuai berada di kawasan tersebut kerana membahayakan penduduk setempat dan haiwan itu sendiri.