Skip to main content
Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) baru-baru ini turun padang bagi melawat tapak projek di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi.
MPOGCF yang diketuai Pengurus Projek, Ahmad Shahdan Kassim dan disertai Eksekutif Pemuliharaan, Syafiq Nazari turut melawat kawasan ladang sawit yang terjejas akibat serangan gajah.
MPOGCF akan membiayai latihan kepada pekebun kecil, penubuhan komuniti pemantauan gajah serta pembinaan pagar elektrik, sistem siren dan parit gajah di beberapa kebun sawit yang diusahakan pekebun-pekebun kecil Felcra di kawasan itu.
Kerjasama bersama pertubuhan antarabangsa iaitu Earthworm Foundation (EF) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu bagi menyelamatkan tanaman kelapa sawit dan melindungi gajah-gajah liar yang merupakan spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.
Dalam lawatan itu, MPOGCF, EF dan MPOB turut mengadakan rundingan dan perbincangan bersama Koperasi Perladangan Sungai Ara Kota Tinggi Berhad bagi pelaksanaan projek itu.
EF diketuai Pengurus Kanan, Pooi San Wong dan MPOB diwakili Pegawai Penyelidik (cawangan Kota Tinggi), Zulaikha Rusmadi.