Skip to main content
Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Rehabilitasi Habitat Orang utan di Lower Kawaq, Hutan Simpan Ulu Segama, Lahad Datu telah diadakan di Ibu Pejabat, Jabatan Perhutanan Negeri Sabah di Sandakan pada 29 September 2022.
Mesyuarat kali ke-5 itu dipengerusikan bersama Ketua Konservasi, Jabatan Perhutanan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Frederick Kugan dan Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YBrs. Mad Zaidi Mohd Karli.
Mesyuarat bagi membincangkan hala tuju dan perancangan projek untuk tahun 2023 itu turut dihadiri Pengurus Besar, Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF), YBrs. Zamakhshari Muhamad dan Pengarah Sains, Alam Sekitar dan Kemampanan MPOC yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, YBrs. Dr Ruslan Abdullah.
Pada 1 Oktober, rombongan yang diketuai Zamakhshari turun padang bagi melawat perkembangan terkini projek itu. Turut serta, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, YBrs. Hairulazim Mahmud.
Projek Rehabilitasi Habitat Orang utan di Hutan Simpan Ulu Segama merupakan projek kerjasama kerajaan Sabah dan MPOC dan diuruskan oleh MPOGCF manakala Jabatan Perhutanan Negeri Sabah selaku pelaksana di peringkat lapangan.
Objektif projek ini ialah penanaman sejuta pokok di kawasan seluas 2,500 hektar hutan terosot di Lower Kawaq bagi tempoh 10 tahun (2019-2028).
Setakat April 2022, hampir 100,000 anak pokok pelbagai spesis hutan telah berjaya ditanam oleh pihak kontraktor yang dilantik MPOGCF.
Projek ini juga telah memberi manfaat kepada komuniti setempat di mana tertubuhnya Komuniti Nurseri Kg. Tampenau, Silam dengan penyertaan kira-kira 50 peserta dan telah berjaya membekalkan 80,000 anak sepanjang 2021 dan 2022.