Skip to main content
Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) telah mengadakan lawatan ke Malambabula Wildlife Habitat Restoration Area, Tabin Wildlife Reserve di Lahad Datu, Sabah, pada 9 Februari lalu.
Lawatan ini sebagai pengenalan kepada Projek Penanaman Rumput Napier atau rumput gajah di Brumas di Tawau, yang bakal dibiayai oleh MPOGCF dengan kerjasama badan bukan kerajaan iaitu Bringing Back Our Rare Animals (BORA) serta syarikat perladangan kerajaan Negeri Sabah, Sabah Softwood Berhad (SSB).
Justeru, lawatan ke Tabin Wildlife Reserve ini bagi mewujudkan rangkaian kerjasama antara MPOGCF, BORA dan SSB bagi melaksanakan projek itu.
Kerjasama antaranya melibatkan kerja-kerja membekal stok rumput Napier dan konsultasi dalam penanaman serta penjagaan.
Projek Penanaman Rumput Napier di lokasi strategik sepanjang laluan Koridor Hidupan Liar di Brumas oleh MPOGCF merupakan salah satu inisiatif bagi menyokong pemuliharaan hidupan liar khususnya Gajah Borneo oleh industri sawit Malaysia.
Kerjasama bagi projek itu akan dimeterai antara MPOGCF, BORA dan SSB dalam masa terdekat ini.
Lawatan ke Tabin Wildlife Reserve di Lahad Datu itu disertai oleh Pengurus Besar MPOGCF, YBrs. Encik Zamakhshari Muhamad dan Eksekutif Konservasi MPOGCF di Sabah, Encik Daniel Pamin.
BORA pula diwakili Pengarah Eksekutif, Datuk Dr John Payne dan Pengarah Program Lapangan, Dr Zainal Zahari Zainuddin.
SSB pula diwakili oleh Pengurus Konservasi, Encik Ram Nathan, Pegawai Eksekutif Kanan, Cik Andi Ida Watie binti Andi Pangeran dan Penolong Pengurus Kemampanan dan Pelancongan Konservasi, Encik Mohd Hafizzul Samatu.